PENGUNJUNG SETIA

03 Disember 2012

JPV GIAT ATASI SERANGAN LALAT

 Penduduk menunjukkan lalat yang terperangkap di rumahnya di Taman Pulai Utama, dekat Serom. [FOTO HAI ROZZAMAN JALAL/BH]

"Usaha membasmi lalat giat dilaksanakan menggunakan kaedah semburan bahan kimia di bawah reban, pagar dan pokok berhampiran kawasan ternakan bagi memusnahkan lalat dan larva” 
Pauzan Kasni, Pegawai JPV Ledang

Ledang: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) daerah menerima aduan penduduk Taman Pulai Utama, dekat Serom, berhubung serangan lalat berpunca daripada reban ayam berhampiran kediaman mereka.

Bersih najis haiwan

Pegawainya, Pauzan Kasni, berkata dalam tinjauan ke kawasan premis ternakan itu, pihaknya mendapati semua ayam yang diternak sudah dijual, manakala kerja membuang najis sedang dijalankan.

Katanya, usaha membasmi lalat juga sedang giat dilaksanakan dengan menggunakan kaedah semburan bahan kimia ke seluruh kawasan premis berkenaan.

“Semburan bahan kimia turut dilakukan di bawah reban, pagar dan pokok berhampiran kawasan ternakan bagi memusnahkan lalat dan larva.

“Kaedah umpan digunakan dengan meletak pelekat berbau buah-buahan sebagai tarikan untuk memerangkap lalat di kawasan ternakan dan kediaman penduduk berhampiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan BH mengenai keresahan 50 keluarga penduduk Taman Pulai Utama, yang terpaksa mengharungi kehidupan dalam suasana tidak selesa berikutan gangguan lalat.

Pauzan berkata, masalah lalat berlaku sepanjang tempoh pembesaran ternakan sehingga ia dijual sebelum kerja pembersihan dijalankan.

Katanya, buat masa ini, JPV negeri giat menjalankan pelbagai kempen dan usaha bagi memastikan ladang unggas di negeri ini bebas lalat menjelang Disember 2013.

Beliau berkata, sebagai permulaan, Kempen Eliminasi Lalat Di Sumber (Ladang Unggas) dijalankan di Hentian Rehat dan Rawat Machap mulai 19 November lalu sebelum diteruskan ke kawasan lain yang dikenal pasti.

SUMBER: BH JOHOR, 03 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: