PENGUNJUNG SETIA

02 Disember 2012

MUAR KINI BANDAR DIRAJA

Wartawan Sinar Harian

Bandar Muar bunga api
Bandar Muar disinari cahaya bunga api sempena penutupan Sambutan Hari Ulangtahun Keputeraan Sultan Johor
Sultan Ibrahim - Muar Bandar Diraja
Sultan Ibrahim diiringi Raja Zarith Sofiah berkenan memotong kek ulang tahun keputeraannya pada Jamuan Teh Bersama Rakyat di Stadium Sultan Ibrahim.
Sultan Ibrahim - Muar Bandar Diraja
Baginda tuanku merasmikan Masjid Al-Ikhsan Air Hitam.
Sultan Ibrahim - Muar Bandar Diraja
Sultan Ibrahim menanam kota watikah perisytiharan di Tugu Masa sebagai simbolik perisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja.
 
BANDAR MAHARANI yang satu ketika dahulu sinonim dengan Muar, kini dikenali Bandar Diraja selepas pengisytiharan rasmi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 25 November lalu, bersempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan baginda.

Pengisytiharan berkenaan sekaligus mengubah gelaran Bandar Maharani yang diberikan Maharaja Abu Bakar sejak 1884 dan detik bersejarah itu ternyata memberikan kebanggaan kepada lebih 300,000 rakyat di daerah ini.

Mercu tanda serlah identiti

Identiti Bandar Diraja itu diserlahkan lagi dengan pembinaan mercu tanda di Bulatan Sulaiman, di sini, dengan kos lebih RM1 juta dan mula dibina kira-kira dua bulan lalu.

Monumen berkenaan yang terletak di tengah bandar Muar ternyata mempunyai identiti tersendiri iaitu dengan empat gading gajah gergasi di setiap sudut dan mahkota di bahagian atasnya.

Binaan yang begitu signifikan itu mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri termasuklah laluan pejalan kaki, air pancur, landskap bandar Muar dan lampu neon sekaligus mengindahkan serta mencantikkan lagi daerah ini pada waktu malam.

Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja selama lima hari lima malam bermula 21 November lalu, dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik sekaligus melakar sejarah kerana julung kali diadakan di luar Johor Bahru.

Turut berkenan berangkat, Tuanku Raja Zarith Sofiah; bonda Sultan Johor, Yang Amat Mulia Enche Besar Hajah Khalsom Abdullah; puteri dan putera baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail; Tunku Aminah; Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar; Tunku Laksamana, Tunku Abdul Jalil; Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera, Tunku Abu Bakar.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan

Dimulakan dengan tahlil dan doa kesyukuran di Masjid Sultan Ibrahim pada 21 November lalu, sebagai pembuka tirai sambutan diikuti program pada hari kedua diserikan lagi dengan acara utama iaitu majlis doa kesyukuran; Majlis Teriman, Majlis Mengadap serta Majlis Darjah dan Pingat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim.

Lebih meriah, istiadat diraja itu ditayangkan kepada umum menerusi empat layar skrin gergasi yang dipasang di beberapa lokasi terpilih dan seramai 404 individu tersenarai menerima pingat di mana puteri Sultan Johor, Tunku Aminah mendahului senarai penerima.

Pada sebelah petang pula, berlangsungnya jamuan teh bersama rakyat di Stadium Sultan Ibrahim.

Dianggarkan lebih 25,000 penduduk daerah ini hadir bagi memeriahkan majlis berkenaan seterusnya bertemu serta beramah mesra secara dekat bersama Sultan Johor sebelum forum perdana di Masjid Sultan Ibrahim menyusul pada sebelah malam.

Sultan rasmi masjid baru

Menjelang hari ketiga, baginda tuanku berkenan untuk merasmikan Masjid Al-Ikhsan Batu 18, Air Hitam, dekat sini, yang bernilai RM2.2 juta seterusnya menunaikan solat Jumaat bersama rakyat.

Acara pada sebelah malam menjadi penuh bermakna apabila baginda Tuanku berangkat tiba ke upacara perarakan kereta berhias sebanyak  25 buah diikuti lebih 120 motosikal berkuasa tinggi di Jalan Arab sejauh empat kilometer.

Hari keempat catat sejarah

Sementara hari keempat pula, mencatatkan sejarah tersendiri buat daerah Muar apabila secara rasminya Bandar Maharani diisytiharkan sebagai Bandar Diraja dalam upacara penuh istiadat diraja berlangsung di Dataran Tanjung Emas, di sini.

Majlis berkenaan disempurnakan dengan baginda tuanku menandatangani plak Bandar Maharani Bandar Diraja dan menanam kota watikah pengisytiharan di Tugu Masa sebagai simbolik majlis.

Hari kelima melabuhkan tirai Sambutan selama lima hari lima malam itu akhirnya melabuhkan tirai pada 25 November lalu dengan acara perarakan bot berhias dan pertunjukan bunga api di Jambatan Sultan Ismail.

Difahamkan, buat julung kalinya dalam sejarah di daerah ini, jambatan itu ditutup kepada semua kenderaan selama 12 jam bagi membolehkan rakyat menyaksikan acara bersejarah ini di situ.

Acara gilang gemilang itu berjaya menarik kedatangan hampir 100,000 pengunjung dari dalam dan luar daerah juga rakyat negeri berhampiran. Bermula dengan gelaran baru sebagai Bandar Diraja, Sultan Ibrahim meminta supaya bandar Muar mempunyai identitinya sendiri bersesuaian dengan gelaran itu.

Malah, baginda Tuanku mahu bandar itu terus kekal dalam suasana aman damai, indah, sejahtera, bersih dan bebas daripada sebarang sisa buangan serta pencemaran alam sekitar selain bangunan lamanya dikekalkan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 2 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: