TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

07 Disember 2012

TRADISI BERADAT, PROGRAM ERAT SILATURAHIM


DIARAK...kanak-kanak berarak dari Masjid Jamek Sengkang ke dewan sekolah.

 SOKONGAN...Asojan (dua dari kiri) mengiringi murid-murid yang menyertai program berkhatan.


Oleh Hai Rozzaman Jalal
am@hmetro.com.my

PIBG anjur program khatan beramai-ramai

LEDANG: Setiap kali musim cuti sekolah, sudah pasti kawasan kampung atau perumahan digamit dengan paluan kompang dan semburan air bomba bagi meraikan kumpulan kanak-kanak untuk berkhatan secara beramai-ramai.

Tradisi rumpun Melayu itu perlu diteruskan bukan saja kerana ia menjimatkan perbelanjaan ibu bapa, malah lebih menceriakan majlis yang diadakan dan pada masa sama, mengeratkan silaturahim antara penduduk.

Baru-baru ini, seramai 16 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sengkang Bukit Gambir di sini, berusia antara 9 hingga 12 tahun mengambil bahagian dalam majlis berkhatan beramai-ramai anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu.

Aktiviti bagi mengembalikan semula budaya dan adat Melayu tidak bercanggah dengan syariat Islam

Yang Dipertua PIBG, Sharif Mohamed berkata, program itu dapat mengeratkan hubungan masyarakat setempat terutama guru dan ibu bapa membabitkan penyertaan anak dan aktiviti gotong-royong dianjurkan.

“Kami mahu mengembalikan semula budaya dan adat Melayu yang tidak bercanggah dengan syariat Islam melalui majlis berkhatan beramai- ramai.

“Penyertaan ibu bapa dalam program ini dapat menjimatkan kos membuat kenduri doa selamat di mana mereka mengadakannya secara berkelompok di sekolah,” katanya pada majlis itu di Dewan Sri Bestari, sekolah itu, baru-baru ini.

Perasmian majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir, M Asojan, dan turut dihadiri Guru Besar sekolah itu, Basir Konit; Guru Penolong Kanan (GPK) 1, Jailani Ahamad; GPK Hal Ehwal Murid, Noraini Md Dom dan ibu bapa peserta.

Sharif berkata, semua murid dikhatankan oleh Dr Mohd Jalil Sharif dari Pusat Perubatan Keluarga dan lebih menarik, Mohd Jalil adalah bekas murid sekolah berkenaan.

“Kejayaan Mohd Jalil membuka tiga klinik di Bukit Gambir, Labis dan Jementah dekat sini, diharapkan menjadi contoh kepada murid sekolah ini supaya berjaya dalam apa jua bidang diceburi kelak,” katanya.

Sebelum dikhatankan, semua peserta dimandikan dalam upacara bersiram hasil kerjasama anggota Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir.

Sementara itu, Asojan berkata, program berkhatan beramai-ramai itu dapat mengembalikan nostalgia lama masyarakat Melayu yang sering berkhatan di rumah secara berkelompok.

Katanya, kerjasama semua pihak menjayakan program itu amat penting kerana ia dapat merapatkan silaturahim masyarakat setempat. 

Menurutnya, kerajaan sentiasa memberikan tumpuan kepada pembangunan pendidikan di semua peringkat bagi melahirkan modal insan berjaya dalam pelbagai bidang.

SUMBER: HARIAN METRO (METROPLUS), 07 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: