PENGUNJUNG SETIA

22 Disember 2012

ANGGUN SASAR TAMBAH KEAHLIAN TAHUN DEPAN

Wartawan Sinar Harian
LEDANG - Persatuan Ibu Tunggal Anugerah Gigih Untuk Najjah (Anggun) Mukim Kesang mensasarkan menambah bilangan ahli berdaftar kepada 400 orang pada tahun depan.

Penaungnya, Ab Majid Mistam berkata, sejak ditubuhkan Jun tahun lalu, persatuan itu sudah mempunyai 280 ahli yang berdaftar dengan Hal Ehwal Wanita (Helwa) dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK).

Menurutnya, bilangan ahli berdaftar dijangka dalam ditingkat bagi memperkasakan golongan itu dan terdapat ramai ibu tunggal terdiri pelbagai latar belakang akan dikenal pasti di Mukim Kesang untuk memastikan tiada di antara mereka yang terabai.

“Kita mahu ibu tunggal di sini memainkan peranan sama penting dengan golongan lelaki  untuk membangunkan mukim ini.

“Jawatankuasa Anggun akan menubuhkan biro kebajikan, kaunseling dan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berperanan untuk mengesan ibu tunggal yang mempunyai kemahiran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Persatuan Ibu Tunggal Anggun di Kompleks  Penghulu Mukim Kesang di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Helwa Daerah Ledang, Furaidah Othman dan Pengerusi Anggun, Azizah Md Top.

Ab Majid berkata, Anggun juga sedang merancang untuk menghantar ahli di bawah biro itu mengikuti latihan intensif bagi meningkatkan kemahiran supaya golongan itu boleh berdikari menjana pendapatan masing-masing.

“Ada dalam kalangan ahli persatuan yang mengusahakan perniagaan IKS telah berupaya memasarkan produk mereka ke luar daerah dan Melaka,” katanya.

Tambahnya, ahli persatuan juga aktif melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan antaranya membantu orang miskin, bersahur bersama orang miskin pada Ramadan lalu, gotong-royong membersihkan rumah orang miskin dan mengadakan sukan rakyat.

SUMBER: SINAR HARIAN, 22 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: