PENGUNJUNG SETIA

26 Disember 2012

KEMPLING JAWA DIHIDUPKAN SEMULA DALAM MAJLIS KHATAN

LEDANG 25 Dis. - Persembahan kempling Jawa yang menjadi tradisi dalam majlis khatan beramai-ramai di daerah itu satu masa dahulu kini dihidupkan semula di Taman Bandar Baru Bukit Gambir, dekat sini, baru-baru ini.

Biasanya persembahan kumpulan dengan alatan muzik tradisional itu diadakan pada sebelah malam serta dimeriahkan lagi dengan upacara menepung tawar dan kenduri melibatkan penduduk setempat dalam suasana penuh kekeluargaan.

Program tersebut sebagai satu simbolik masyarakat Jawa untuk meraikan anak-anak mereka yang bakal menempuh alam dewasa sebelum dikhatankan beramai-ramai keesokan paginya.

Jawatankuasa penduduk taman berkenaan menghidupkan semula tradisi itu dengan memilih 16 kanak-kanak bertuah dalam satu majlis yang dirasmikan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri.

Pengerusi program, Abdullah Mohamed berkata, Perkumpulan Kempling Kampung Parit Kassan itu mengembalikan nostalgia kerana zaman dahulu ia sangat sinonim dengan majlis-majlis berkhatan.

Menurutnya, program berkenaan diharap dapat meneruskan tradisi lama yang kian dilupakan selain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dan membentuk satu komuniti yang bersatu padu.

"Secara tidak langsung penduduk melakukan kerja secara bergotong-royong bagi menjayakan majlis ini termasuk mendirikan khemah, memasak dan menyertai program sehingga selesai.

"Kanak-kanak terlibat kemudian dikhatankan di Klinik Kesihatan Bukit Gambir dan program ini amat mendapat sambutan ibu bapa," katanya ketika ditemui dalam majlis itu di balai raya taman tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: