TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

25 Disember 2012

BUNYI KUAT KEJUTKAN TIDUR

Wartawan Sinar Harian
Bunyi kuat kejutkan tidur
Keadaan bumbung rumah Fatimah yang rosak teruk selepas ditimpa pokok kelapa.
 
LEDANG – Seorang warga emas terselamat apabila kediamannya di Lorong Setia, Batu 1 ½ Tajung Agas dekat sini, dihempap pokok kelapa, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.05 petang itu, Fatimah Othman, 72, hanya menyedari kejadian tersebut setelah terjaga daripada tidur apabila dikejutkan dengan bunyi kuat pada bumbung rumahnya.

Akibat kejadian itu, hampir 70 peratus rumahnya rosak terutamanya di bahagian bumbung.

Menurut anaknya, Zulkifli Idris, 47, seperti kelaziman pada waktu seperti itu, ibunya akan duduk di sofa sambil menonton televisyen di ruang tamu rumah sementara menunggu masuk waktu solat Maghrib.

“Namun pada hari kejadian, tindakan ibu baring dan tidur di lantai telah menyelamatkannya.

“Jika ibu duduk di sofa, pasti perkara buruk yang terjadi kerana pokok kelapa sepanjang 30 meter tumbang dan menghempap bahagian itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkifli yang tinggal pada jarak kira-kira 10 meter dari rumah ibunya memberitahu telah menjangkakan kejadian yang berlaku itu apabila terdengar bunyi kuat dari arah rumah ibunya.

“Tekaan saya menjadi lebih kuat apabila mendengar suara kuat ibu yang berulang kali melaungkan kalimah ALLAH.

“Bimbang sesuatu yang buruk menimpa ibu, saya dan isteri bergegas ke rumahnya untuk menyelamatkannya,” katanya.

Dia lega apabila melihat ibu membuka pintu rumah dalam keadaan selamat, tetapi keadaannya tidak terurus dengan serpihan pokok kelapa memenuhi kepalanya.

Katanya lagi, mujur pokok kelapa yang sudah menjangkau usia 70 tahun itu tidak mempunyai buah, jika tidak, dia tidak dapat membayangkan keadaan ibunya.

“Saya akan berbincang dengan pemilik pokok kelapa ini supaya dapat menebang dua pokok kelapa lain yang dilihat mencondong ke arah rumah ibu kerana tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya.

Difahamkan insiden yang menimpa Fatimah mendapat perhatian Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan beberapa pemimpin setempat yang datang menziarahi serta menghulurkan sumbangan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 25 DISEMBER 2012

Tiada ulasan: