PENGUNJUNG SETIA

28 September 2013

DUA MILIKI SENAPANG ANGIN DITAHAN

HARUN Idris (kanan) menunjukkan senapang angin buatan sendiri yang dirampas daripada dua lelaki di Ledang, Johor, kelmarin. 
 
LEDANG 27 Sept. - Polis menahan dua lelaki kerana memiliki senapang angin buatan sendiri dalam dua serbuan berasingan di Bukit Gambir dan Sagil pada Ahad dan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Harun Idris berkata, dalam serbuan pertama, polis menahan suspek berusia 35 tahun di sebuah bengkel motosikal di Bukit Gambir dekat sini pukul 1.20 pagi, Ahad lalu.

"Hasil risikan, pemeriksaan dilakukan dan menjumpai selaras senapang angin. Polis turut merampas sebuah enjin motosikal setelah suspek gagal memberi maklumat tepat berkaitannya.

"Ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu tetapi dia tidak mempunyai rekod lampau," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang di sini semalam.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 2001 dan Seksyen 3 Akta Senjata 1960.

Harun memberitahu, tangkapan kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 55 tahun di Kampung Melapang dekat Sagil pada pukul 5.30 petang keesokannya, juga hasil risikan pihaknya.

"Siasatan awal percaya senjata itu digunakan untuk menjaga kebun atau berburu. Suspek tidak mempunyai rekod lampau dan bebas daripada dadah.

"Kedua-dua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1960," katanya.

Harun menasihati orang ramai supaya tidak membuat atau memiliki senjata api kerana menyalahi undang-undang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 SEPTEMBER 2013

LAHIRKAN RAMAI PAKAR BIO-PERUBATAN

HAMIM Samuri (dua kiri) melawat makmal baharu selepas majlis pertukaran MoU antara Mara dengan Radibems dan National Instruments Southeast Asia di KKTM, Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 27 Sept. - Penuntut Instrumentasi Bio-Perubatan, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang di sini, diminta menggunakan sepenuhnya kemudahan moden dan terkini di kolej itu dalam usaha melahirkan lebih ramai jurutera bioperubatan terbaik di negara ini.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, produk dikeluarkan KKTM Ledang seharusnya menjadi antara yang terbaik ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara maju menjelang 2020 dan memerlukan ramai pakar dalam bidang berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sesebuah negara maju akan beralih daripada sebuah industri kepada industri yang lain termasuk Malaysia yang menuju kepada negara berorientasikan perkhidmatan.

"Negara maju menjadikan industri perkhidmatan sebagai teras dan bidang perubatan seperti ini adalah satu daripada fokus utama," katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat (Mara), Radibems Sdn. Bhd. dan National Instruments Southeast Asia Sdn. Bhd. di KKTM Ledang di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Radibems, Mohamed Nasir Talib; Pengarah Urusan National Instruments Southeast Asia, Chandran Nair dan Pengarah KKTM Ledang, Ahmad Jalaludin Mohd. Wahi.

Hamim berkata, Malaysia perlu menyediakan perkhidmatan perubatan sebaik mungkin bagi menepati status negara maju dan bukan saja membabitkan peralatan tetapi juga teknologi, aplikasi serta pengalaman dan kemahiran.

"Saya mahu lihat pelajar yang dihasilkan di sini mampu bersaing dan benar-benar menguasai kecanggihan teknologi bio-perubatan yang semakin berkembang ketika ini. Kalau boleh kita ingin menjadi sebuah negara tumpuan bagi negara lain dalam bidang ini," katanya.

Menurutnya, negara ini dengan segala kepakaran yang ada perlu mengenal pasti penyakit-penyakit rumit masa kini dan menjadi perintis untuk kaedah merawat serta menyembuhkannya.

Pada masa sama katanya, pesakit dalam negara tidak seharusnya dilupakan dan mereka perlu diberi rawatan terbaik melalui kelengkapan paling moden serta mampu membiayainya tanpa dibebankan dengan kos perkhidmatannya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 SEPTEMBER 2013

26 September 2013

MEMPERKASA MODAL INSAN

ABDUL Mutalip Abdul Rahim (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan nasyid pada Majlis Ujian Membaca al-Quran Murid-murid Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor Peringkat Negeri Ke-65, 1434 Hijrah di Dewan Jubli Intan Tangkak, Johor, kelmarin. 
 
LEDANG 25 Sept. - Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan dalam usaha memperkasakan modal insan bagi memastikan kemajuan yang sedang dibina seimbang dengan pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu perlu bagi memastikan pembangunan sedia ada dilakukan secara menyeluruh seiring tuntutan dunia dan akhirat dalam usaha membentuk bangsa dan negeri ini.

"Kerajaan akan terus beri komitmen dalam usaha membangunkan modal insan cemerlang, berkualiti dan mempunyai sahsiah terpuji. Justeru, jalan kehidupan seharian dan amalan seimbang antara dunia serta tuntutan agama akan mampu memperkasa sesebuah bangsa dan negara.

"Ini tentunya akan mencapai kejayaan dunia dan akhirat," katanya semasa merasmikan Majlis Ujian Membaca al-Quran Murid-murid Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor Peringkat Negeri Ke-65, 1434 Hijrah di Dewan Jubli Intan Tangkak di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Mutalip Abdul Rahim. 

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Pengarah Agama negeri, Datuk Abd. Razak Hassan.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sentiasa mengangkat dan meninggikan syiar Islam dan contoh yang boleh dilihat melalui majlis ujian tersebut yang bukan sekadar memperdengarkan kemerduan bacaan al-Quran, malah penghayatan ajaran kitab suci itu.

Beliau berkata, agenda memartabatkan al-Quran dilakukan dalam banyak program bermula di peringkat sekolah termasuk dalam bidang kokurikulum dan usaha berkenaan diterima baik oleh umat Islam.

Mengenai kelebihan pertandingan tersebut, beliau mengakui usaha itu dapat mencungkil bakat dan potensi peserta bagi diketengahkan kemahiran mereka supaya dapat dikembangkan sepenuhnya.

"Ini secara tidak langsung dapat menyumbang untuk mengukuhkan jati diri dan semai keyakinan anak-anak kita dalam menghadapi banyak cabaran masa kini, selain mengelak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan akhlak," katanya.

Sementara itu, Abd. Razak berkata, sebanyak 300 murid dari sekolah agama seluruh negeri menyertai pertandingan selama dua hari berkenaan.

Sebanyak 15 kategori, antaranya Ujian Tilawah al-Quran Tahap Satu kategori Putera dan Puteri, Ujian Tafsir al-Quran Tahap Satu dan Dua untuk Putera dan Puteri, Syarahan (Bahasa Melayu dan Bahasa Arab), seni khat serta nasyid terbuka.

"Program ini adalah usaha membentuk generasi muda supaya lebih membudayakan al-Quran. Kita harap program sebegini dapat melahirkan lebih ramai pelajar bukan sahaja mengetahui isi kandungan al-Quran, malah memahami keperluan fardu ain dan fardu kifayah lain," katanya.

Dalam pertandingan berkenaan, daerah Johor Bahru muncul juara keseluruhan apabila memenangi lima daripada 15 kategori, antaranya Ujian Tilawah al-Quran Tahap Dua yang dimenangi pelajar tahun empat Sekolah Agama Gelang Patah, Abdul Azim Abu Bakar serta Nur Faihah Ibrahim yang mengungguli kategori Ujian Tilawah al-Quran Tahap Dua Puteri.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 SEPTEMBER 2013
© Utusan Melayu (M) Bhd

25 September 2013

RM7 JUTA BINA MASJID BUKIT GAMBIR

MASJID Jamek Bukit Gambir di Bukit Gambir, Ledang, Johor di tepi jalan utama akan diroboh dan dibina baharu dengan kos RM7 juta bagi menampung keperluan jemaah yang semakin meningkat.
 
LEDANG 24 Sept. - Masalah kesesakan di Masjid Jamek Bukit Gambir setiap kali solat Jumaat bakal diatasi apabila sebuah masjid baharu yang lebih luas bakal dibina di tapak asal dalam masa terdekat dengan kos RM7 juta.

Pengerusi masjid tersebut, Abu Bakar Md. Affandi berkata, masjid itu yang mendapat peruntukan daripada kerajaan Pusat dijangka mampu menampung 1,200 orang dan secara tidak langsung memberikan keselesaan kepada jemaah untuk beribadat.

"Masjid lama yang berusia hampir 50 tahun ini dibina dengan kos sebanyak RM35,000 dan hanya mampu menampung 400 jemaah terutama ketika solat Jumaat. Semasa solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, bilangan jemaah lebih ramai.

"Pada tahun 2000, pembesaran masjid sudah dilakukan, namun masih belum mampu menampung jemaah dari lima kampung dan 11 taman perumahan di sekitar Bukit Gambir," katanya ketika ditemui di masjid tersebut di sini.

Abu Bakar berkata, kedudukan masjid itu yang strategik di tepi jalan utama menghubungkan Muar dan Pagoh membuatkannya menjadi pilihan orang ramai untuk singgah bagi menunaikan ibadah.

Menurutnya, jumlah jemaah dijangka akan terus meningkat apabila Plaza Tol Bukit Gambir yang masih dalam pembinaan siap hujung tahun ini, di samping pembukaan banyak kawasan perumahan di kawasan berkenaan.

"Perancangan membina bangunan baharu amat dinantikan penduduk terutamanya selepas bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyelesaikan masalah pengambilan tanah bernilai RM2 juta tidak lama dahulu.

"Selain untuk tujuan melakukan ibadat, masjid itu turut digunakan bagi majlis keramaian seperti Maulidur Rasul, kelas takmir dan kursus haji," katanya.

Sehubungan itu, syarikat korporat dan orang ramai yang dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan pembinaan masjid yang menjadi salah satu mercu tanda baharu di kawasan tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 SEPTEMBER 2013

© Utusan Melayu (M) Bhd

23 September 2013

STMICROELECTRONICS BERI SUMBANGAN KEPADA ANAK YATIM, WARGA EMAS

ABD. Razak Minhat menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sambil diperhatikan oleh Tan Chun Sheng (kanan) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, semalam. 
 
MUAR 22 Sept. - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 300 anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dari bandar ini dan Ledang apabila menerima sumbangan daripada syarikat STMicroelectronics yang telah beroperasi sejak 39 tahun lalu di sini.

Sumbangan melalui Program Kami Prihatin itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Pengurus Besar STMicroelectronics, Tan Chun Sheng di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar, di sini hari ini.

Program anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Muar dan Ledang itu turut dihadiri Pegawai JKM Muar, Nazri Hussin; Pegawai JKM Ledang, Norhayati Kadir dan Naib Presiden Kumpulan Bahagian Pembangunan Mapan Korporat syarikat itu, Alain Danielle.

Chun Sheng berkata, program tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial syarikat berkenaan bertujuan menzahirkan keprihatinan syarikat tersebut terhadap komuniti setempat terutamanya golongan yang kurang bernasib baik.

"Menerusi program seumpama ini, kita dapat merapatkan lagi perhubungan supaya lebih mesra dan berharap penerima berasa sentiasa diberi perhatian oleh masyarakat.

"Perkara ini amat penting kerana dapat menyuntik semangat dan sebagai motivasi kepada mereka untuk menghadapi kehidupan pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, program tersebut dapat memberi pendedahan kepada orang ramai tentang keadaan golongan kurang bernasib baik dan memberi kesedaran tentang perkhidmatan yang disediakan pihaknya.

Sementara itu, Abd. Razak berkata, peranan yang dimainkan syarikat tersebut amat dihargai dan kerajaan negeri mengalu-alukan usaha murni seperti itu supaya golongan kurang bernasib baik tidak disisih atau dilupakan.

Beliau berkata, kewujudan kilang STMicroelectronics hampir 40 tahun di Tanjung Agas dekat sini sememangnya sinonim dengan penduduk setempat selain memberikan 300 peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 SEPTEMBER 2013

22 September 2013

ANAK GHANI TANDING NAIB KETUA PEMUDA UMNO LEDANG


Johor Bahru: Anak bekas Menteri Besar Johor Mohammad Jamil Helmi Abdul Ghani, 31, meneruskan legasi politik bapanya apabila mengesahkan bertanding untuk merebut jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang.

Mohammad Jamil Helmi yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai Mati itu hadir menyerahkan borang pencalonannya pada jam 11 pagi semalam di Hotel Berjaya Waterfront Johor Bahru dan akan dicabar Aidil Roslan Mohamad serta Mohd Razali Ismail dalam pertembungan tiga penjuru.

Mohammad Jamil Helmi ketika ditemui berkata, dia menawarkan diri untuk bertanding bukan disebabkan bapanya tetapi mahu membawa suara generasi muda dalam meremajakan UMNO.

"Jangan anggap saya anak kepada bekas Menteri Besar yang meneraju Johor selama 18 tahun, sebaliknya anggaplah saya seorang calon biasa yang mahukan proses transformasi politik dalam UMNO terlaksana.

"Malah, bapa juga sering berpesan supaya saya bersaing secara sihat bagi memastikan survival politik terutama parti keramat ini diteruskan dengan jayanya," katanya.

Selain bidang politik, Mohammad Jamil Helmi terbabit secara langsung dalam pembangunan negara dengan bergiat aktif sebagai ahli jawatankuasa Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU).

SUMBER: METRO AHAD, 22 SEPTEMBER 2013

ANAK GHANI OTHMAN BERTANDING UNTUK TERUSKAN LEGASI BAPA

JOHOR BAHRU 21 Sept. - Bagi meneruskan legasi bapanya yang merupakan bekas Menteri Besar, Mohammad Jamil Helmi Abdul Ghani menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang yang dilepaskan penyandangnya, Musa Khatiran yang telah melepasi had usia.

Mohammad Jamil, 31, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai Mati hadir menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 11 pagi dan bakal berdepan pencabar, Aidil Roslan Mohamad dan Mohd. Razali Ismail.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata, hasratnya untuk bertanding adalah kerana mahu membawa suara generasi muda dalam usaha meremajakan parti.

"Saya mahu mereka melihat saya sebagai anak muda yang mahukan proses transformasi politik dalam UMNO terlaksana. Janganlah melihat saya sebagai anak seorang bekas menteri besar yang sudah menerajui negeri ini selama 18 tahun.

"Bapa juga menyokong saya dengan keputusan ini, malah turut menasihatkan saya untuk bersaing secara sihat. Sokongan yang diberikan adalah sebagai seorang bapa kepada anak, tidak lebih daripada itu," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi anak bekas pemimpin negeri ini iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Nornekman Osman juga bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru.

Nornekman, 39, yang merupakan anak Datuk Osman Sapian bakal menghadapi tentangan empat penjuru apabila dicabar Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jalan Cempaka, Musbah Yusof dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Putera, Saiful Rizal Abd. Ghani serta Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jiran Sepakat, Tom Gaddafi Anwary.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 22 SEPTEMBER 2013

21 September 2013

MASJID BARU BAKAL TAMPUNG 1,200 JEMAAH

 Sebuah masjid baru bakal dibina atas tapak Masjid Bukit Gambir yang berusia 50 tahun apabila permohonan peruntukan RM7 juta diluluskan Kerajaan Pusat.
 
LEDANG – Masalah kesesakan setiap kali solat Jumaat di Masjid Jamek Bukit Gambir, di sini, bakal diatasi apabila sebuah masjid baru yang lebih luas bakal dibina di tapak asal bagi menggantikan masjid sedia ada.

Pengerusi Masjid Jamek Bukit Gambir, Abu Bakar Md Affandi berkata, masjid tersebut dijangka bernilai RM7 juta akan dibina sebaik peruntukan sebanyak RM7 juta daripada Kerajaan Pusat  diluluskan.
Menurutnya, masjid itu kelak dijangka mampu menampung 1,200 jemaah pada satu masa secara tidak langsung memberikan keselesaan kepada jemaah untuk beribadat.

“Bangunan berusia hampir 50 tahun dibina dengan kos RM35,000 itu hanya mampu menampung 400 jemaah terutama ketika solat Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha.

“Tahun 2000, pembesaran masjid dilakukan, namun ia masih belum dapat menampung jemaah dari lima kampung dan 11 taman perumahan di sekitar Bukit Gambir,” katanya.

Abu Bakar berkata, kedudukan masjid itu yang strategik di tepi jalan utama menghubungkan Muar ke Pagoh membuatkan ia menjadi pilihan orang ramai untuk singgah menunaikan ibadah.

Namun katanya, bilangan jemaah dijangka meningkat apabila Plaza Tol Bukit Gambir yang masih dalam pembinaan siap hujung tahun ini, di samping pembukaan banyak kawasan perumahan di sini.

“Perancangan membina bangunan baru amat dinantikan penduduk terutama selepas bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyelesaikan masalah pengambilan balik tanah bernilai RM2 juta.

“Selain untuk tujuan ibadat, masjid itu turut digunakan dalam majlis keramaian seperi Maulidur Rasul, kelas takmir dan kursus haji,” katanya.

Sehubungan itu, syarikat korporat dan orang ramai boleh menghulurkan sumbangan untuk menjayakan pembinaan masjid yang menjadi mercu tanda kawasan itu.

SUMBER: SINAR HARIAN, 21 SEPTEMBER 2013

19 September 2013

FAN PAGE KELAB 1MALAYSIA PERINGKAT NEGERI DILANCAR

ABD. Razak Minhat (kiri) dan Hamdan Hasnan melancarkan Fan Page Kelab 1Malaysia Peringkat Negeri 2013 dan Hari Terbuka Pusat Maklumat Rakyat di Pejabat Jabatan Penerangan, Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 18 Sept. - Jabatan Penerangan negeri hari ini melancarkan Fan Page Kelab 1Malaysia Peringkat Negeri 2013 dan Hari Terbuka Pusat Maklumat Rakyat bagi mengukuh dan memastikan penyampaian maklumat lebih berkesan seiring perkembangan semasa.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat sambil disaksikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Hamdan Hasnan di pekarangan Pejabat Penerangan Daerah Ledang, di sini.

Abd. Razak berkata, pelancaran kelab itu tepat pada masanya selaras dengan ledakan maklumat menerusi internet yang boleh diakses melalui pelbagai kemudahan seperti komputer riba, telefon pintar, tablet dan alat komunikasi masa kini.

Katanya, sebarang bentuk maklumat boleh disebarkan dengan cepat dan dengan cara tersebut pengikut kelab peminat itu boleh mendapatkan informasi pada bila-bila masa tidak kira di mana.

"Diharapkan Fan Page Kelab 1Malaysia akan menjadi platform untuk ahli atau para pengikutnya mengutarakan pendapat dan bertukar-tukar fikiran atau maklumat.

"Jadi diharap pihak pengendali atau pengurusan kelab peminat ini memantau segala aktivitinya. Kalau ada persoalan terutama daripada orang muda, jawapan yang tepat dan jelas mesti diberikan supaya mereka faham dan tidak keliru," katanya.

Menurutnya, langkah tersebut penting kerana ketika ini terdapat banyak sumber di internet seperti blog dan media sosial yang tidak bertanggungjawab memutar belit fakta sehingga golongan muda mendapat maklumat tidak benar sekali gus merosakkan minda.

Abd. Razak bagaimanapun percaya Jabatan Penerangan mampu menyedia bahan-bahan berkualiti, relevan dan menepati kehendak semasa dengan menghubungkan pelbagai maklumat terkini yang diperlukan.

Malah, beliau turut menggalakkan pelajar supaya melayari kelab peminat itu kerana terdapat pengetahuan mengenai sejarah negara dan penerangan Rukun Negara bagi mengukuhkan jati diri selain menghindarkan mereka dengan laman web tidak berfaedah.

Dalam perkembangan lain, Hamdan memaklumkan bahawa ketika ini terdapat 67 Pusat Maklumat Rakyat di seluruh negeri dengan keahlian 2,680 dan diharap kewujudannya dapat memberi manfaat selaras menjadikan masyarakat bermaklumat menjelang 2020.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 SEPTEMBER 2013

16 September 2013

'POLICEMAN HAD NO RECORD OF MENTAL ILLNESS'

By T.N. Alagesh; Rizalman Hammim; Abnor Hamizam Abd Manap


KUANTAN:  Police are not ruling out the possibility that Lance Corporal Fadzly Omar, who shot dead his wife and father-in-law before turning his service pistol on himself, might have suffered from mental problems or work-related stress.

Deputy Inspector-General of Police Datuk Seri Mohd Bakri Zinin said police would investigate if there was something that bothered the 29-year-old to the extent that he resorted to such horrific action.

"Police investigations will cover all angles as we want to get to the root of the motive. We do not want such incidents involving police personnel to occur in the future," he said after opening the Inspector-General of Police lawn bowling competition here yesterday.

Bakri said the force would conduct medical check-ups and monitor the health of all policemen to ensure they stayed stress-free while carrying out their duties, adding that anyone facing problems or depression should be given assistance.

In Ledang, district police chief Superintendent Harun Idris said Fadzly had no record of mental illness nor disciplinary problems.

He said police would speak with Fadzly's family and colleagues to see if he had any personal problems.

Fadzly was believed to have shot his wife, Norakma Abd Kadir, 28, at their house in the Felda Chemplak police beat base quarters in Labis, before taking their 3-year-old son on an hour-long ride to his father-in-law's house in Jalan Sialang, Ledang.

There, he was said to have shot Abdul Kadir Md Arif before committing suicide.

Harun said police arrived at the scene to find Fadzly's body in the living room while Kadir, who was shot in the head, was still breathing. Kadir was taken to Tangkak Hospital but died on arrival.

Norakma's brother, Mohd Noorshairazi, 25, said his sister was a quiet woman who never told her family about any marital problems that the couple might have faced, despite living with them while her husband worked in Labis.

He said it was routine for Fadzly to come to the house on Friday evenings to fetch Norakma and their son, Fatih Haziq, home where they would spend the weekend before returning on Sunday.

"My brother-in-law did not display any odd behaviour or lose his temper whenever he was here and my sister would keep quiet whenever we ask her about her husband," said Noorshairazi.

However, Bernama reported that another of Norakma's brothers, Ezam, said Fadzly had, in a casual conversation during Hari Raya Aidilfitri last month, said he was going to shoot someone while pointing to the revolver on his hip.

Ezam had treated it as a joke and never in his wildest imagination thought his brother-in-law was referring to his father and sister.

"He did say he will shoot someone. I thought he was going to shoot some criminals. I never thought he would actually do such a thing," he said outside the Ledang Hospital mortuary.

Ezam said he was at home when Fadzly shot his father.

"I was in the kitchen when I heard an explosion like firecrackers. I rushed into the living room and saw my father and brother-in-law lying in a pool of blood."

In Gemas, Fadzly's 14-year-old brother, who declined to be named, said his sibling did not show signs of stress, nor physical or mental problems each time he returned to his family home.

"He was close to me ever since I was a child. The last time we met was when he came home with his son and wife a month back. We are shocked by this incident."

Fadzly's mother, Norhani Bakar, was too distraught to speak to reporters. Fadzly's father, Omar Ujang, died two years ago.

SOURCE: NST, SEPTEMBER 16, 2013

FADZLY POLIS CEMERLANG, DEDIKASI

Ledang: Lans Koperal Fadzly Omar yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri, adalah anggota polis yang berdedikasi dan mempunyai rekod disiplin cemerlang.

Suspek berusia 28 tahun itu disahkan tidak mempunyai rekod masalah mental, selain mempunyai hubungan baik dengan masyarakat dan rakan sepasukan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Harun Idris, berkata pihaknya menyiasat semua aspek bagi mengenal pasti motif Fadzly menembak isteri dan bapa mentuanya sebelum membunuh diri.

Siasat motif

"Kita menjalankan siasatan untuk mengetahui motif sebenar suspek bertindak sedemikian.

"Kita masih mengumpul maklumat lanjut daripada keluarga dan rakan setugas serta sumber lain sama ada wujud masalah keluarga ataupun masalah lain," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 7.15 malam kelmarin, Fadzly menembak mati bapa mentuanya, Abdul Kadir Md Arif, 66, sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian di rumah mangsa di Jalan Sialang, dekat sini.

Terdahulu, Fadzly menembak mati isterinya, Norakma Abd Kadir, 28, di kuarters Pondok Polis FELDA Chempelak, Labis sebelum ke rumah mentuanya kira-kira 60 kilometer jaraknya bersama anak mereka, Fatih, 2.

Harun berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 7.15 petang sebelum ke tempat kejadian dan menemui mayat Fadzly di ruang tamu, manakala Abd Kadir yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Tangkak.

SUMBER: BH, 16 SEPTEMBER 2013

MANGSA BUNUH TAKUT DENGAN SUAMI

Oleh Azidan Nahar; Abnor Hamizam Abd Manap


Ledang: "Anak saya pernah beritahu takut dengan suami tapi bila saya tanya apa masalahnya, dia diam.
"Hubungan kami dengan menantu pun baik. Tak sangka pula jadi macam ni."

Rogayah Alip, 62, masih terkejut dengan tragedi menimpa anaknya, Norakma Abd Kadir, 28, yang maut ditembak suaminya, Lans Koperal Fadzly Omar, 29, dalam kejadian di kuarters Pondok Polis FELDA Chempelak, Labis, kelmarin.

Selepas kejadian itu, Fadzly ke rumah mentuanya di Jalan Sialang dekat sini, lalu menembak mati bapa mentuanya, Abdul Kadir Md Arif, 66, sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian pada jam 7.15 malam itu.

Tinggal berasingan

Rogayah berkata, sejak berkahwin tiga tahun lalu, pasangan itu tinggal berasingan kerana anaknya seorang kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tangkak berhampiran rumah keluarga, manakala Fadzly di kuarters polis FELDA Chempelak.

"Fadzly pendiam dan jarang bercampur dengan ahli keluarga lain. Biasanya dia pulang ke rumah kami setiap Jumaat untuk mengambil Norakma dan anak mereka yang berusia dua tahun, Fatih Haziq," katanya.

Adik Norakma, Mohd Noorshairazi, 25, bersama ibunya dalam perjalanan ke pekan Ledang sebelum dihubungi abang sulungnya, Mohd Izam, 34, yang memaklumkan ada sesuatu tidak kena lalu meminta mereka segera pulang.

Berlaku pertengkaran

"Abang kata ada pertengkaran dan tidak sedap hati, lalu kami berpatah balik.

"Sebaik tiba di pekarangan rumah, saya terdengar bunyi dua das tembakan dari arah ruang tamu," katanya.

Noorshairazi berkata, ketika itu kakaknya, Nurzafirah, 26, dan Mohd Izam berada di luar rumah bersama Fatih manakala bapa mereka dan Fadzly di dalam rumah dengan keadaan pintu tertutup.

Difahamkan, Fadzly mengarahkan ahli keluarga keluar dari rumah kecuali bapa mentuanya.

"Sebaik mendengar tembakan, kami memasuki rumah dan mendapati Fadzly terkulai di meja manakala ayah terlentang di lantai ruang tamu dengan masing-masing berlumuran darah," katanya.

Nafi ada masalah mental

Sementara itu di Gemas, keluarga Fadzly menegaskan anggota polis itu tidak mempunyai masalah mental.

Adik lelakinya yang enggan namanya disiarkan berkata, Fadzly tidak pernah menunjukkan tanda mengalami tekanan mental atau masalah kesihatan fizikal setiap kali pulang ke kampung.

"Kami rapat dan kali terakhir kami bertemu ialah ketika abang pulang bersama keluarganya bulan lalu," katanya di rumahnya di FELDA Palong Tiga di sini, semalam.

Ibunya, Norhani Bakar, enggan ditemui media, manakala bapanya, Omar Ujang, meninggal dunia tahun lalu.

SUMBER: BH, 16 SEPTEMBER 2013

DENGAR DUA DAS TEMBAKAN

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus; Ahmad Ismail


Ledang: "Sebaik tiba di garaj depan rumah, saya terdengar dua das tembakan dari arah ruang tamu kediaman.

"Saya masuk ke dalam dan terkejut mendapati abang ipar terkulai di atas meja manakala bapa telentang di lantai, keadaan bapa sungguh menyayat hati kerana dia ditembak di kepala," kata Mohd Noorshairazi Abdul Kadir, 25, semalam.

Mohd Noorshairazi adalah anak bongsu kepada Abdul Kadir Md Arif, 66, yang maut selepas ditembak menantunya Lans Koperal Fadzly Omar, 29, di rumah mangsa di Jalan Sialang, Tangkak di sini, jam 7.15 malam kelmarin.

Kira-kira sejam sebelum itu, suspek dipercayai menembak isterinya Norakmal Abdul Kadir, 28, di kuarters polis FELDA Chempelak, Labis, Segamat.

Suspek yang bertugas di pondok polis tanah rancangan berkenaan kemudian memandu kereta Proton Wira bersama anak lelakinya yang berusia dua tahun pulang ke kediaman mentuanya lalu menembak lelaki berkenaan.

Menurut Mohd Noorshairazi, sebelum kejadian, dia dan ibunya Rogayah Alip, 62, dalam perjalanan ke pekan Ledang sebelum dia dihubungi abang sulungnya Mohd Izam, 30-an.

"Abang menghubungi saya memaklumkan ada sesuatu yang tidak kena dan meminta saya segera pulang ke rumah.

"Kami berpatah balik dan terkejut apabila terdengar bunyi tembakan berkenaan. Saya segera menghubungi polis dan ambulans, namun bapa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tangkak," katanya.

Menurut Mohd Noorshairazi, walaupun sedih, dia bersyukur kerana ketika kejadian, kakaknya Nurzafirah, 26, dan Mohd Izam berada di luar rumah bersama anak tunggal suspek Fatih Haziq.

"Saya tidak tahu apa akan berlaku jika ketiga-tiganya turut berada di dalam rumah ketika kejadian," katanya.

Menurut Mohd Noorshairazi, dia tidak menyangka masalah rumah tangga kakak dengan abang iparnya begitu serius sehingga menyebabkan kejadian menyayat hati itu.

Katanya, memang menjadi kebiasaan setiap petang Jumaat, abang iparnya itu datang untuk menjemput Norakmal serta Fatih Haziq pulang ke FELDA Chempelak sebelum kembali semula ke Tangkak pada petang Ahad.

"Arwah kakak seorang yang pendiam dan tidak pernah mengadu apa-apa berkaitan masalah rumah tangga mereka.

"Selain itu, abang ipar juga tidak pernah menunjukkan sebarang perlakuan pelik atau sikap panas baran apabila pulang ke sini (Jalan Sialang).

"Namun, sejak kebelakangan ini, anak saudara (Fatih Haziq) enggan berengggang dengan arwah kakak dan mungkin itu petanda dia akan berpisah dengan ibunya buat selama-lamanya," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 16 SEPTEMBER 2013

GUNA SENJATA RASMI POLIS


Ledang: Lans Koperal Fadzly Omar, 29, yang menembak mati isteri, bapa mentua dan dirinya di sebuah rumah di Jalan Sialang, Tangkak di sini, jam 7.15 malam kelmarin disahkan menggunakan pistol jenis .38 yang juga senjata rasminya.

Ketua Polis Daerah Ledang Superintendan Harun Idris berkata, pistol berkenaan senjata yang digunakan suspek ketika bertugas.

"Siasatan awal mendapati kematian bapa mentua suspek Abdul Kadir Md Arif, 66 dan Fadzly berpunca daripada tembakan di kepala.

"Kejadian dipercayai berlaku antara jam 7 hingga 7.15 malam iaitu selepas suspek menembak isterinya di Pondok Polis FELDA Chempelak, Labis.

"Suspek yang menembak dirinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapa mentuanya meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tangkak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, semalam.

Menurut Harun, suspek disifatkan sebagai anggota yang dedikasi dan mempunyai rekod disiplin cemerlang.

Katanya, motif kejadian belum dipastikan dan pihaknya juga menunggu laporan penuh bedah siasat.

SUMBER: HARIAN METRO, 16 SEPTEMBER 2013

'TAKUT BERADA DI SAMPING SUAMI'

Ledang: "Norakmal sebelum ini pernah menyuarakan ada ketikanya dia takut apabila berada di samping suaminya dan terpaksa mengikut saja arahan.

"Saya ingatkan itu hanya masalah biasa dalam rumah tangga dan tidak sangka menantu (Fadzly) bertindak sejauh ini," kata Rogayah Alip, 62, semalam.

Rogayah ibu kepada Norakmal Abdul Kadir, 28, yang mati ditembak suaminya Lans Koperal Fadzly Omar, 29, di kuarters polis FELDA Chempelak, Labis, Segamat, kelmarin.

Pada masa sama, Fadzly turut maut selepas menembak dirinya sejurus menembak mati bapa mentuanya Abdul Kadir Md Arif, 66, di rumah mangsa di Jalan Sialang, Tangkak.

Menurut Rogayah, sejak berkahwin tiga tahun lalu, menantunya dan Norakmal tinggal berasingan kerana tuntutan kerja.

"Norakmal yang bekerja sebagai kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tangkak tinggal bersama kami manakala Fadzly di kuarters polis FELDA Chempelak.

"Fadzly pendiam dan jarang bercampur dengan ahli keluarga lain. Dia pulang setiap Jumaat untuk mengambil Norakmal dan anak lelaki mereka (Fatih Haziq, dua tahun)," katanya.

Menurut Rogayah, pada hari kejadian, Norakmal baru sehari bermalam di FELDA Chempelak dan sepatutnya pulang pada hari ini sempena cuti umum Hari Malaysia.

Katanya, Norakmal juga tidak pernah menceritakan masalah rumah tangga yang dihadapi.

Pada Aidilfitri lalu, Norakmal dan Fadzly juga tidak menunjukkan perubahan manakala arwah suaminya pula ceria seperti biasa.

"Kami sekeluarga terkejut dan tidak percaya kejadian ini berlaku. Walaupun sedih, kami reda dengan ujian Tuhan ini," katanya.

Jenazah Abdul Kadir dan Norakmal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gontang, Tangkak selepas solat Asar, semalam.

Jenazah Fadzly pula dibawa ke kampung halamannya di FELDA Palong 3, Negeri Sembilan dan dikebumikan di situ.

SUMBER: HARIAN METRO, 16 SEPTEMBER 2013

MENJANA KEPAKARAN GURU

Pada alaf ini, pendidikan di sekolah tidak harus memencilkan diri dan bergerak tanpa hala tuju yang jelas dan selaras. Sekolah perlu melihat kejayaan sekolah lain untuk dijadikan model melalui perkongsian bestari. 

Demikian juga, guru sebagai petugas pendidikan tidak seharusnya berpuas hati dengan kemahiran yang diterima semasa di kampus. Sebaliknya, mereka perlu menggali dan mencari kepakaran dalam bidang mereka melalui perkongsian bestari. 

Mereka boleh membentuk kumpulan rakan sekerja untuk membangunkan program di sekolah. Aktiviti ini dapat meningkatkan kepakaran mereka dalam tugas yang dipertanggungjawabkan.

Setiap sekolah mudah mengakses maklumat daripada pelbagai sumber untuk mendapat maklumat. Pengetua atau guru besar selaku pengurus sekolah mempunyai peranan penting untuk memilih hala tuju masing-masing dan tidak hanya menunggu arahan daripada pihak lain. 

Pengetua atau guru besar harus melakukan perkongsian bestari di sekolah dengan institusi pendidikan di tempat lain.

Perkongisn bestari dapat difahamkan sebagai pertukaran pendapat, program, modul, aktiviti dan sebagainya di sekolah atau tempat lain untuk dilaksanakan di sekolah masing-masing. 

Program perkongsian ilmu dapat dilaksanakan oleh kumpulan pemimpin dan pelaksana pendidikan di sekolah. Tegasnya, mereka tidak boleh berseorangan untuk membina kecemerlangan sekolah.

Perkongsian bestari harus dimulakan secara mikro hingga peringkat makro. 

Mikro melibatkan sekumpulan guru di sekolah. Contohnya program lesson study iaitu sekumpulan guru yang merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersama-sama. 

Akhirnya, mereka bukan sahaja mendapat hasil yang cemerlang, malah memperoleh kepakaran yang menjadi rujukan pihak lain. 

Sementara program makro melibatkan guru dan pelajar di sekolah dengan guru-guru sekolah lain di peringkat daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa. 

Selain mengakses media massa, mereka boleh mengadakan lawatan ke negara lain untuk mengadakan perkongsian bestari. Langkah ini membolehkan mereka melihat sendiri dan merasai pengalaman orang lain.

Sekolah telah melaksanakan program Kumpulan Mutu Kerja (KMK), kajian tindakan dan sebagainya yang diubah suai dengan ukuran pendidikan untuk mencari jalan meningkatkan kecemerlangan di sekolah. 

Mereka membuat kajian serta pelaksanaan aktiviti di sekolah berdasarkan kekuatan dan ancaman yang terdapat di sekolah. Penemuan mereka sudah pasti boleh menjadi rujukan guru-guru lain atau sekolah-sekolah lain.

Sekolah juga boleh membuat perkongsian bestari dengan sekolah berhampiran. Mereka duduk bersama dengan mengadakan seminar, pembentangan kertas kerja atau sebagainya. Mereka boleh memanfaatkan guru cemerlang di sekolah masing-masing atau menggunakan kepakaran dan kejayaan sekolah untuk dikongsi bersama dengan sekolah berhampiran.

Sekolah juga boleh mengadakan lawatan penanda aras di sekolah-sekolah yang telah berjaya melaksanakan program mereka. Lawatan tersebut boleh dijadikan asas untuk dilaksanakan di sekolah mereka selaras dengan keperluan dan kekuatan yang ada di sekolah masing-masing.

Sementara sekolah yang telah terbukti dan diiktiraf mencapai kecemerlangan dengan penganugerahan sekolah bestari, sekolah berprestasi tinggi atau sekolah yang mendapat bai'ah, seharusnya menguar-uarkan program mereka melalui media massa atau blog agar dapat dikongsi bersama dengan sekolah-sekolah lain. 

Sekolah kluster cemerlang ini boleh menjemput sekolah lain untuk datang ke sekolah mereka bagi melihat program yang telah dilaksanakan. Langkah ini secara tidak langsung membantu negara untuk meningkatkan mutu pendidikan.

Guru yang kreatif boleh merancang dan melaksanakan program kecemerlangan dengan memilih aktiviti yang sesuai di sekolah masing-masing berdasarkan latar belakang dan persekitaran sekolah. 

Situasi sekolah di bandar berbeza dengan sekolah di luar bandar, sekolah asrama, sekolah berprestasi tinggi dengan sekolah harian. Kepakaran guru di sekolah berkenaan masih boleh diterapkan di sekolah lain melalui usaha kreatif guru.

Melalui perkongsian bestari dapat membuka minda guru melaksanakan sesuatu di sekolah serta meningkatkan kepakaran mereka. Langkah ini amat dituntut demi melahirkan lebih ramai guru yang benar-benar menguasai pedagogi pendidikan. Pengalaman mereka amat diperlukan untuk melaksanakan program Rakan Peningkatan Sekolah (SiPartners+) dan Pembimbing Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) yang akan dilaksanakan menjelang 2014.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 SEPTEMBER 2013

MOTIF BUNUH ISTERI, MERTUA DISIASAT

LEDANG 15 Sept. - Polis masih menyiasat motif seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang membunuh diri selepas menembak mati isteri dan bapa mertuanya dalam dua kejadian berasingan di Labis dan di sini lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, andaian bahawa suspek, Fadzly Omar, 29, mempunyai masalah rumah tangga dengan isterinya, Norakmal Abd. Kadir, 26, atau keluarga mertuanya masih belum dapat dipastikan.

"Kita masih siasat dalam semua aspek punca suspek menembak isteri dan bapa mertuanya. Ketika ini kita dapatkan maklumat ahli keluarga dan sumber lain.

"Siasatan awal mendapati suspek melepaskan satu das tembakan di sebelah tepi kepala bapa mertuanya sebelum menembak dirinya sendiri di kepala.

"Kejadian berlaku di ruang tamu rumah dan semasa itu anak lelaki suspek berusia kira-kira dua tahun berada di luar rumah. Pistol yang digunakan ialah jenis Revolver .38," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini hari ini.

Harun berkata, bapa mertua suspek masih hidup semasa dihantar ke Hospital Tangkak oleh orang awam, namun meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital kerana cedera parah.

"Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod berkaitan masalah mental dan juga tidak pernah mempunyai masalah disiplin sebelum ini selain berkhidmat dengan cemerlang. Kita tidak pasti semasa kejadian suspek sedang bertugas atau sebaliknya. Dia membawa anak tunggalnya itu bersama ke rumah bapa mertuanya dengan menaiki kereta sebelum meninggalkan anak di luar rumah sebaik sahaja sampai," katanya.

Beliau berkata, kesemua jenazah dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 SEPTEMBER 2013

LANS KOPERAL GUNA REVOLVER .38 TEMBAK ISTERI, BAPA MERTUA

LEDANG 15 Sept. - Seorang lans koperal polis yang menembak mati isteri dan bapa mentuanya sebelum menembak diri sendiri dalam satu kejadian tragis semalam, menggunakan sepucuk pistol jenis Revolver .38 untuk menembak mangsa. 

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, revolver itu merupakan senjata yang dibekalkan kepada anggotanya untuk bertugas.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kematian suspek, Lans Koperal Fadzly Omar, 29, dan bapa mentuanya Abd Kadir Md Arif, 66, berpunca daripada tembakan di kepala.

"Suspek meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapa mentuanya yang dikejarkan ke Hospital Tangkak oleh orang awam meninggal dunia kira-kira 8.15 malam sebaik saja tiba di hospital," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, di sini hari ini.

Harun berkata, suspek merupakan seorang anggota polis yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasnya dan tidak pernah mempunyai rekod disiplin sepanjang tujuh tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam semalam, anggota polis itu dikatakan terlebih dahulu menembak isterinya, Norakmal Abdul Kadir, 28, di kuarters Pondok Polis Felda Chempelak di Labis, Segamat sebelum pergi ke rumah bapa mentuanya di Kampung Padang Lerek 1 yang terletak hampir 90 kilometer dari situ.

Dia dikatakan mencari ibu mentuanya tetapi gagal dan terserempak dengan Abdul Kadir yang ketika itu sedang bersiap-siap hendak ke masjid lalu menembaknya.

Suspek kemudian bertindak menembak diri sendiri dan rebah serta meninggal dunia di rumah itu. - BERNAMA

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 SEPTEMBER 2013

15 September 2013

LELAKI BUNUH ISTERI, BAPA MENTUA

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my


Sebuah kereta polis membawa mayat mangsa pembunuhan di Jalan Sialang, Tangkak, Ledang, Johor, malam tadi.

LEDANG 14 Sept. - Seorang anggota polis bantuan berpangkat Lans Koperal dipercayai membunuh isterinya sendiri sebelum menembak mati bapa mentua dan membunuh diri dalam dua kejadian berasingan di Labis dan Jalan Sialang, dekat sini malam ini.
Mangsa ialah Norakmal Abd. Kadir, 26, yang merupakan kerani sebuah sekolah menengah di Tangkak dan ayahnya, Abd. Kadir Md. Arif, 65.
Suspek yang juga anggota Pondok Polis Felda Chempelak, Labis, Segamat dekat sini, dikatakan menembak bapa mentuanya di Tangkak kira-kira pukul 7 malam sebelum membunuh diri.
Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia mendengar seperti bunyi mercun sebanyak dua kali di rumah mangsa kira-kira pukul 7.15 malam.
Katanya, dia cuba melihat tetapi tidak mengesyaki sebarang perkara buruk sebelum tiba-tiba anak mangsa meluru ke rumahnya dan memberitahu ayahnya ditembak suspek yang juga abang iparnya.
"Saya amat terkejut dan memberanikan diri untuk melihat ke dalam rumah. Selepas masuk ke rumah saya lihat dua tubuh terbaring di ruang tamu berlumuran darah dan mangsa masih hidup ketika itu tetapi keadaannya parah," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Katanya, sebelum kejadian, dia melihat suspek pulang ke rumah bapa mentuanya bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun menaiki kereta Proton Wira.
Tambahnya, dia kemudian melihat anak perempuan mangsa keluar bermain bersama anak suspek di luar rumah manakala suspek dikatakan berada dalam rumah bersama bapa mertua serta adik ipar lelakinya.
"Ketika masuk ke ruang tamu itu saya melihat mangsa sudah terlentang di lantai dalam keadaan nazak manakala suspek tertiarap di atas meja.
Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
 
SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 15 SEPTEMBER 2013

8 AHLI SINDIKET CURI KERETA DITAHAN

HARUN Idris menunjukkan dua kereta curi dilapor hilang di Selangor yang dirampas daripada lapan penjenayah pada sidang akhbar di IPPD Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 14 Sept. - Lapan orang, termasuk dua wanita yang merupakan ahli kumpulan sindiket mencuri kenderaan ditahan bersama dua buah kereta curi bernilai lebih RM200,000 di Jalan Sialang, Tangkak di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, kesemua suspek berusia antara 20 hingga 37 tahun berasal dari daerah ini, Muar, Kluang dan Melaka ditahan dalam satu serbuan kira-kira pukul 6 petang.

"Mereka yang berada dalam keadaan khayal akibat pengaruh dadah ditangkap dalam sebuah premis. Kumpulan ini dipercayai terlibat mencuri dalam jenayah curi kenderaan berdasarkan penemuan dua kereta curi, nombor pendaftaran dan cukai jalan yang dipalsukan.

"Polis turut merampas kereta Honda Accord dan Perodua Myvi yang dilaporkan hilang di Kajang, Selangor akhir bulan lalu. Kita berjaya menyelesaikan kes curi dua kereta itu dalam masa dua minggu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) hari ini.

Katanya, kesemua suspek merupakan penagih tegar serta tidak memiliki pekerjaan tetap dan dipercayai menjadikan kegiatan jenayah mencuri kenderaan sebagai sumber pendapatan utama.

Idris memberitahu, dua kereta berkenaan yang dicuri di sebuah tempat letak kereta yang sama itu akan diserahkan kepada IPD Kajang untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, suspek pertama yang berusia 26 tahun memiliki 16 rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah serta jenayah sejak 2011.

"Polis menemukan enam peket kecil dipercayai dadah jenis syabu ketika menahan suspek dan dia dipercayai bertindak sebagai ketua kumpulan itu," katanya.

Menurutnya, suspek kedua pula berusia 37 tahun turut memiliki 14 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah curi motosikal, curi dalam bangunan serta menceroboh sejak 2011.

"Hasil semakan mendapati seorang lagi rakan mereka memiliki 16 rekod lampau termasuk satu kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta tiga jenayah sejak 2005," katanya.

Sementara itu, dua wanita yang berusia 24 tahun itu juga mempunyai rekod lampau dengan salah seorang daripadanya pernah ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Wanita berkenaan dipercayai penagih tegar dan memiliki 13 rekod berkaitan penyalahgunaan dadah sejak 2009 hingga tahun ini," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 15 SEPTEMBER 2013

CABUT NYAWA ISTERI, MENTUA

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus, Ahmad Ismail dan Shaifulazhar Misri
 
LEDANG: Seorang anggota polis yang dipercayai mempunyai masalah dalam perkahwinan menembak mati isteri dan bapa mentua sebelum bertindak menembak dirinya dalam dua kejadian berasingan di Jalan Sialang, Batu 17, Tangkak, di sini, malam tadi.
 
Dalam kejadian itu, Lans Korporal Fadzly Omar, 29, dipercayai menembak mati isterinya, Norakmal Abd Kadir, 26, di rumah mereka di Kuarters Kediaman Pondok Polis Felda Cempelak, Labis, kira-kira 6.15 petang.
 
Dia kemudian memandu ke rumah mentuanya di Tangkak dan tiba di kediaman berkenaan, kira-kira 7 petang.

Suspek yang bertugas di Pondok Polis Felda Cempelak, Segamat, dipercayai berbual seketika bersama bapa mentuanya di ruang tamu.
Foto

Ketika berbual, dia dikatakan mengeluarkan pistol dan terus menembak bapa mentuanya, Ab Kadir Md Arif, 65, sebelum bertindak menembak dirinya.
 
 
Abdul Kadir yang parah dikejarkan oleh jiran ke Hospital Tangkak namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Bagaimanapun, suspek yang dipercayai mempunyai masalah dengan isterinya meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, jiran mentua suspek yang enggan dikenali, berkata dia mendengar seperti bunyi mercun sebanyak dua kali di rumah mangsa sebelum Maghrib.

Katanya, dia tidak mengesyaki sebarang perkara buruk sebelum tiba-tiba seorang anak mangsa meluru datang ke rumahnya dan memberitahu ayahnya ditembak oleh suspek yang juga abang iparnya.

"Saya memberanikan diri untuk melihat ke dalam rumah berkenaan dan terkejut melihat kejadian itu," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sebelum kejadian dia melihat suspek pulang ke rumah bapa mentuanya itu bersama anak lelakinya yang berusia tiga tahun menaiki sebuah Proton Wira.

Katanya, dia juga ada melihat anak perempuan mangsa keluar bermain main bersama anak suspek di luar rumah.

"Ketika masuk ke ruang tamu rumah itu, saya melihat bapa mentuanya sudah terlentang di lantai dalam keadaan nyawa-nyawa ikan manakala suspek tertiarap di atas meja.

"Meskipun terkejut, saya sempat menghubungi polis dan ambulans untuk bantuan kecemasan namun seorang daripada mereka ketika itu sudah meninggal dunia," katanya.
 
SUMBER: METRO AHAD, 15 SEPTEMBER 2013

13 September 2013

KISAH 'SURVIVAL' SEBUAH AKHBAR DALAM DUNIA DIGITAL

Mohd Kamil Yusuff
PENULIS ialah Pengarang Utusan Melayu Mingguan.
TIGA suku abad adalah satu jangka masa yang lama. Tidak ramai yang mampu bertahan ke tahap itu. Begitu juga dalam industri akhbar. Tidak banyak akhbar atau syarikat akhbar yang dapat menyambut hari jadinya yang ke-75, dalam keadaan 'sihat, tegap dan berjiwa muda.' Malah, banyak yang sudah tidak wujud lagi.
Namun, Utusan Melayu (M) Berhad membuktikannya. Di sebalik cabaran getir dan onak duri yang dilalui sepanjang perjalanan berlikunya 75 tahun lalu, ia tetap teguh berdiri sebagai satu institusi yang memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu di negara ini.
Tidak seinci pun ia berundur daripada perjuangan asalnya, walau seribu satu badai datang melanda. Semangat dan perjuangan 20 tokoh pejuang Melayu yang berkumpul di rumah pemimpin Kesatuan Melayu Singapura (KMS), Daud Mohd Shah pada suatu hari pada 1938 untuk menerbitkan akhbar Melayu itu, masih membara.
Seiring dengan semangat perjuangan tersebut, akhbar pertama syarikat Melayu itu dalam tulisan jawi menemui pembaca pada 29 Mei 1939, kira-kira setahun selepas penubuhan syarikat di Singapura.
Tokoh Wartawan, Tan Sri Abdul Samad Ismail berkata, penerbitan akhbar itu besar ertinya kepada bangsa Melayu seluruhnya. Beliau menyifatkannya sebagai puncak kejayaan bangsa Melayu dalam bidang media cetak.
Produk pertama Utusan Melayu itu yang menjadi wadah perjuangan bangsa Melayu terus berkembang menjadi sebuah akhbar yang berpengaruh dan disegani. Sejak itu akhbar ini tidak pernah gagal menemui pembacanya setiap hari.
Abdul Rahim Kajai memimpin akhbar tersebut sebagai pengarangnya yang pertama. Antara wartawan terkenal yang kemudiannya menjadi pengemudi akhbar orang Melayu itu ialah Abdul Samad Ismail. Othman Wok, Keris Mas, Melan Abdullah, Hussein Hamid dan Salleh Daud.
Sejak itu akhbar menggunakan tulisan warisan orang Melayu itu mula mewarnai corak dan pemikiran orang Melayu pada masa itu. Ia menjadi citra bangsa Melayu dalam segenap perkara. Malah, Presiden UMNO yang pertama, Datuk Onn Jaafar menyifatkan perjuangan parti itu adalah hasil seruan dalam akhbar Utusan Melayu.
Tulisan jawi yang bertapak di negara ini sejak 1303 Masehi menjadi medium penting dalam perkembangan persuratkhabaran Melayu di Tanah Melayu. Akhbar jawi pertama Jawi Peranakan yang diterbitkan pada 1867 menjadi batu tanda kepada industri ini.
Tidak kurang daripada 10 buah akhbar Melayu dalam tulisan jawi muncul selepas Jawi Peranakan. Daripada jumlah tersebut hanya akhbar jawi Utusan Melayu masih kekal sehingga ke hari ini walaupun tidak diterbitkan secara harian dan sudah beralih teknologi.
Sepanjang sejarahnya, hanya tiga kali akhbar Utusan Melayu ini 'terhenti' penerbitannya. Pertama pada 15 Februari 1942 apabila Jepun menawan Singapura. Jepun bagaimanapun mengarahkan akhbar ini bergabung dengan Warta Malaya menjadi Berita Malai, sebuah akhbar propaganda negara matahari terbit itu.
Namun, tiga tahun kemudian, Jepun menyerah kalah dan syarikat Utusan Melayu (dulunya dikenali sebagai Utusan Melayu Press Limited) dihidupkan semula. Maka pada 17 September 1945, akhbar jawi Utusan Melayu kembali diterbitkan.
Kali kedua denyut nadi akhbar Utusan Melayu terhenti ialah pada 22 Julai 1961. Tentu ramai bekas-bekas pekerja Utusan Melayu masih ingat detik-detik hitam gelombang penentangan pekerja-pekerja terhadap majikan mereka melalui mogok hampir tiga bulan itu.
Walaupun sebanyak 115 pekerja Utusan Melayu di Kuala Lumpur melancarkan mogok, namun akhbar itu dapat diterbitkan semula beberapa hari kemudian atas usaha Melan Abdullah dan Othman Wok. Ia dicetak oleh percetakan luar iaitu Print Craft.
Dan kali ketiga Utusan Melayu tidak menemui pembacanya seperti biasa ialah pada 26 Januari 2006 apabila ia dihentikan penerbitannya ekoran masalah kos penerbitan, selain tiada sambutan dan kekurangan pembaca.
Bagaimanapun dengan keprihatinan pihak-pihak tertentu, atas dasar mempertahankan satu-satunya tulisan warisan bangsa Melayu, akhbar ini diterbitkan beberapa bulan kemudian, secara mingguan yang dikenali sebagai Utusan Melayu Mingguan.
Namun atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, edisi cetak akhbar mingguan jawi ini terpaksa dihentikan pada 1 Julai lalu. Bagaimanapun 'hayat' akhbar ini masih bertahan dan perjuangan asalnya diteruskan melalui edisi digital.
Akhbar itu pada masa kini boleh dilayari melalui Utusan Online dan akhbar elektronik (e-paper) Utusan Malaysia. Akhbar elektronik Utusan Melayu Mingguan ini akan dapat dilayari melalui aplikasinya sendiri pada Oktober depan.
Ketika akhbar jawi ini dihentikan penerbitannya kali ketiga pada Januari 2006, ramai yang meratapi 'pemergian' akhbar yang sangat berjasa kepada umat Melayu ini. Maka, ramailah yang menyalahkan Utusan Melayu kerana didakwa 'menguburkan' identiti bangsa ini.
Di sebalik itu, tidak ramai yang tahu betapa sukarnya untuk memberi nyawa kepada akhbar yang semakin tenat ketika itu. Dengan edarannya yang semakin merosot saban hari, syarikat tidak mampu lagi menanggung kos penerbitannya yang semakin meningkat.
Natijahnya, kemerosotan pembaca akhbar Utusan Melayu adalah antara lain disebabkan oleh tidak ramai yang boleh membaca dan menguasai tulisan jawi. Hal ini demikian kerana tulisan ini dianggap tidak sepenting tulisan rumi yang menjadi kegunaan seharian di seluruh dunia.
Bukan hendak mengangkat bakul sendiri, tetapi hakikatnya hanya syarikat Utusan Melayu yang kelihatan berseorangan dan begitu bersungguh-sungguh memperjuang serta memartabatkan tulisan jawi. Mungkin tidak ada syarikat lain yang sanggup menanggung kerugian bertahun-tahun hanya untuk memastikan tulisan nenek moyang bangsa mereka terus malar segar.
Ini adalah satu lagi 'bencana' yang menimpa bangsa Melayu apabila warisan nenek moyang mereka sendiri sudah tidak dipedulikan lagi. Kurang kesedaran dan semangat jati diri dalam kalangan orang Melayu untuk memartabatkan tulisan jawi menyebabkan tulisan itu semakin terpinggir.
Utusan Melayu adalah secebis kisah sedih bangsa Melayu dalam industri persuratkhabaran di negara ini. Orang Melayu yang merupakan penduduk terbanyak iaitu kira-kira 15 juta orang tidak mampu mempertahankan satu-satunya akhbar jawi milik mereka, warisan zaman berzaman.
Sebaliknya, kaum Cina yang jumlahnya kira-kira tujuh juta orang di negara ini memiliki 15 buah akhbar dalam tulisan mereka, manakala masyarakat India Malaysia yang berjumlah kira-kira dua juta orang pula mempunyai tidak kurang daripada tiga akhbar harian tulisan tamil.
Begitulah kisah survival sebuah akhbar yang mendokong perjuangan bangsa. Akhbar yang lahir dari air mata dan keringat Melayu. Akhbar yang besar pengaruhnya dalam pembentukan sejarah negara. Akhbar yang turut sama mengukir ketamadunan bangsanya.
 
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 SEPTEMBER 2013

12 September 2013

GHANI BERI LALUAN ORANG MUDA


Kuala Lumpur: Datuk Abdul Ghani Othman mengesahkan tidak akan mempertahankan semua jawatannya dalam UMNO pada pemilihan parti bulan depan untuk memberi laluan kepada kepimpinan muda.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, keputusan untuk tidak bertanding sebarang kerusi yang didudukinya sejak hampir 30 tahun dalam politik UMNO dibuat sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-13, Mei lalu.

Beri peluang orang muda

"Selepas sekian lama, saya rasa sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada golongan muda," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Abdul Ghani menyandang jawatan Ketua UMNO Bahagian Ledang sejak 28 tahun lalu dan Majlis Tertinggi (MT) sejak 1994.

Beliau berkata, tumpuannya kini menjurus kepada tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Sime Darby Bhd.

SUMBER: BH, 12 SEPTEMBER 2013

10 September 2013

KEBAKARAN BESAR UBAH PEKAN BUKIT GAMBIR



LEDANG – Dua puluh tahun lalu, pekan Bukit Gambir digelar ‘pekan koboi’ kerana hanya dihiasi deretan bangunan kedai usang.

Namun, kebakaran besar yang memusnahkan hampir keseluruhan bangunan di pekan itu 20 tahun lalu, mempunyai hikmah.

Sejak itu berlaku transformasi besar dan kini, kawasan itu dilimpahi pembangunan.

Selepas diiktiraf sebagai Bandar Baru Bukit Gambir pada 2003, Bukit Gambir berjaya mengatasi kemajuan Bandar Tangkak yang terletak kira-kira 23 kilometer jauhnya.

Bermula dengan pembinaan bangunan kedai dan perumahan, Bandar Baru Bukit Gambir kini mempunyai mercu tanda sendiri, antaranya Bangunan Pasar Tani Bukit Gambir, bangunan komersial, balai bomba dan terbaru, Plaza Tol Bukit Gambir oleh Plus Expressways (Plus).

Adun Gambir, M Asojan berkata, pembangunan di sini terus rancak  dengan pembinaan plaza tol.

"Projek bernilai kira-kira RM80 juta yang dijadual siap Disember ini, dibina khusus untuk kemudahan pengguna lebuh raya dan penduduk Bukit Gambir.

“Apabila tol Bukit Gambir siap, saya menjangkakan Bukit Gambir akan terus menjadi tumpuan dan pilihan masyarakat luar.

“Bandar ini akan menjadi lebih sibuk dan bilangan penduduk juga dijangka bertambah berbanding ketika ini, 40,000 penduduk,” katanya.


Pembangunan bandar berterusan

Namun, pembangunan di Bukit Gambir tidak berhenti setakat itu sahaja.

Asojan berkata, Bukit Gambir Sentral yang menempatkan perhentian bas dan teksi bakal dibina tidak lama lagi berhampiran pasar awam dan pasaraya Econsave.

“Perbincangan dalam peringkat akhir yang mana Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (Upen) dan Majlis Daerah Tangkak telah menjalankan siasatan, dan kerajaan negeri juga sudah meluluskan peruntukan.

“Projek ini dianggar bernilai RM2 juta dan dijangka bermula awal tahun depan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam kerancakan pembangunan di Bukit Gambir, kawasan bermasalah yang sering dilanda banjir kilat seperti di Taman Seri Jaya tidak diabaikan.

“Kerja menaik taraf sistem perparitan membabitkan kos RM1 juta telah dilakukan dua peringkat iaitu pada 2009 dan 2010.

“Kawasan Pusat Perniagaan Taman Jingga berhampiran persimpangan Jalan Sengkang juga dinaik taraf, kita minta pihak pemaju memastikan sistem perparitan mengalir ke sungai berhampiran bagi mengelak risiko banjir kilat,” katanya.

Selain itu, Asojan berkata, jalan raya di pekan Bukit Gambir turut dilebarkan menjadi empat lorong bagi melancarkan aliran trafik berikutan pertambahan drastik jumlah kenderaan pengguna jalan raya.

Beliau menambah, kepesatan pembangunan telah memberi impak kepada pasaran hartanah di sini yang menyebabkan harga melonjak tinggi.

“Banyak kawasan perumahan baru dibuka dengan pelbagai kategori, bermula rumah kos rendah hingga rumah mewah,” katanya.

Yakin konsep pembangunan terancang

Dalam  pada itu, Asojan berkata, beliau yakin dengan konsep pembangunan terancang, masalah sosial yang sering dikaitkan dengan pembangunan akan dapat dikawal.

“Ini kerana Majlis Daerah Tangkak tidak meluluskan lesen membuka pusat hiburan seperti karaoke dan snuker di Bukit Gambir,” katanya.

Katanya lagi, Bukit Gambir bakal menjadi pusat komersial yang diharapkan terus mengekalkan tawaran harga murah dan kompetitif.

“Jika dapat mengekalkan harga rendah seperti hari ini, saya yakin Bukit Gambir dapat menarik lebih ramai pengunjung luar untuk berbelanja,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 10 SEPTEMBER 2013

09 September 2013

PLATFORM GURU KETENGAH PANDANGAN, IDEA

USAHA Utusan Malaysia memperkenalkan program Lembaga Editorial Sekolah (LES) sangat bertepatan dengan kehendak usaha transformasi pendidikan negara melalui penulisan berkualiti tinggi guru di ruangan Pendidikan.

Kata Penolong Kanan 1 Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ledang, Roslan Ahmad, LES merupakan platform kepada guru mengetengahkan pandangan masing-masing di gelanggang akhbar, selain di jurnal-jurnal pendidikan.

Beliau memberitahu, guru memang perlu menguasai kemahiran penulisan untuk melancarkan lagi keperluan tugasan hakiki yang memerlukan banyak kerja menulis seperti menyediakan modul pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penulisan jurnal yang menyentuh isu-isu pengurusan, akademik dan pentadbiran.

"LES juga boleh menjadi platform kepada pembangunan kerjaya," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sijil Ahli LES kepada guru SMK Ledang, Md Ishak A. Rahman di Tangkak, Johor baru-baru ini.

Malah, kata Roslan, wacana itu mencerminkan kompetensi dan keterampilan penulisnya dan boleh digunakan dalam kriteria pemilihan guru cemerlang.

Bagaimanapun penulisan berkenaan perlu sesuai dengan kedudukan mereka sebagai penjawat awam.

Beliau menambah, Pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri memang meminta bahan-bahan penulisan daripada guru untuk disiarkan dalam jurnal.

Sementara itu, Md Ishak gembira menerima sijil keahlian LES dan menganggapnya satu penghargaan yang tinggi kepadanya oleh pihak Utusan Malaysia.

''Selepas ini saya cuba menulis lagi untuk memenuhi amanah sebagai LES," katanya.

LES adalah ruangan khas untuk menggalakkan pendidik atau pentadbir sekolah menyumbang buah fikiran tentang isu semasa berkaitan dengan pendidikan.

Hantarkan sumbangan anda melalui e-mel kepada pendidikan@utusan.com.my. Panjang karya sekitar dua helai kertas bersaiz A4.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 SEPTEMBER 2013

'SENDIRIAN TANGGUNG DERITA'

Ledang: Jenazah pelakon, Maimon Abdul Mutalib, 55, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sialang, Tangkak, di sini, jam 10.20 malam kelmarin.

Terdahulu, jenazahnya disembahyangkan di Masjid Sialang, Tangkak sebelum dibawa ke tanah perkuburan itu untuk disemadikan.

Anak saudara arwah, Mohd Almizat Abu Halip, 43, berkata, Maimon seorang yang tabah kerana sanggup menanggung penderitaan sendirian apabila merahsiakan penyakit dihidapi daripada pengetahuan keluarga.

Menurut Mohd Almizat, pada Aidilfitri 2012, ketika berkunjung ke rumahnya di Kuantan, Pahang, barulah arwah berterus-terang berkaitan penyakitnya.

"Anak arwah meminta saya memujuk arwah menjalani pemeriksaan susulan dan rawatan lanjut.

"Arwah setuju, namun umurnya tidak panjang kerana Tuhan lebih menyayanginya," katanya.

Rakan artis, Azizah Mahzan pula berkata, dia kehilangan rakan yang dikenalinya sejak 25 tahun lalu.

Kata Azizah, arwah seperti kakak kandung kerana sifatnya yang penyayang serta penuh keibuan, ia membuatkan hubungan mereka akrab.

SUMBER: HARIAN METRO, 09 SEPTEMBER 2013

PAK MATLOB - PEJUANG SEJATI PERKEMBANGAN TULISAN JAWI

MUNGKIN ramai yang tidak mengenali Mohammad @ Mokhtar Talib. Tetapi apabila disebut Pak Matlob, ramai yang tahu bahawa beliau ialah tokoh ternama dalam bidang tulisan jawi dan sastera kanak-kanak.

Anak kelahiran Kampung Laut, Semerah, Batu Pahat, Johor ini adalah pejuang sejati tulisan jawi dan telah menghasilkan lebih 400 buah buku dalam pelbagai bidang, kebanyakannya dalam tulisan jawi.

Dalam bidang penulisan jawi, tokoh pejuang tulisan jawi ini banyak memberi sumbangan berharga kepada akhbar dan majalah, antaranya beliau pernah mengelolakan ruangan Pandai Jawi dan Belajar Jawi di Utusan Malaysia

Pernah berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun, lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan Maktab Perguruan Bahasa, Lembah Pantai yang dilahirkan pada 5 Julai 1937 ini memulakan karya penulisan untuk kanak-kanak pada tahun 1953.

Dan ketika redup senja Jumaat 6 September lalu, tokoh yang amat besar jasanya dalam bidang tulisan jawi dan kesusasteraan kanak-kanak ini menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya, Kalifah Md. Yusuf, pada usia 76 tahun di rumah mereka di Semerah, Batu Pahat.

Pak Matlob yang pada beberapa tahun terakhirnya banyak menyumbangkan tulisannya dan membantu penerbitan Utusan Melayu Mingguan. Allahyarham mula uzur selepas diserang angin ahmar tahun lalu dan demam sejak Rabu minggu lalu.

Pernah bertugas sebagai sebagai Ketua Unit Pendidikan Jawi untuk Utusan Melayu (1993-1998), Pat Matlob menghasilkan 11 novel remaja dan 107 novel kanak-kanak selain mengeluarkan 30 jenis bahan bacaan dan penyelidikan berhubung tulisan jawi moden dalam tempoh tiga tahun.

Allahyarham juga banyak menulis untuk majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta akhbar seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Utusan Zaman khususnya dalam bidang sastera kanak-kanak.

Skrip drama pentas pertama ditulis beliau bertajuk Mekarlah Mawar - Mekarlah Harapan, dipentaskan di Panggung Cathay Muar pada 28 Mei 1965.

Beliau kemudian menghasilkan karya kanak-kanak untuk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia pada 1965 hingga 1967. 

Pak Matlob dipilih oleh UMNO sebagai penerima Anugerah Melayu Cemerlang, manakala di peringkat negeri, Pak Matlob dipilih menerima Anugerah Tokoh Pejuang Jawi daripada Persatuan Penulis Johor.

Kegigihan Allahyarham sehingga tahun-tahun terakhir kehidupannya memperjuangkan tulisan warisan orang Melayu itu terbukti apabila sanggup datang dari Semerah ke Ibu Pejabat Utusan Melayu di Kuala Lumpur untuk menghantar sendiri hasil karyanya kepada akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan.

Kecintaannya kepada tulisan jawi jelas tergambar apabila sanggup mengeluarkan wang sendiri sebagai hadiah pertandingan tulisan jawi yang dianjurkannya dengan kerjasama Utusan Melayu Mingguan.

Sejak dua tahun lepas, beliau tidak lagi aktif menghantar karya atau memberikan ceramah mengenai tulisan jawi apabila lumpuh akibat diserang angin ahmar.

Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Nama Pak Matlob akan terukir dengan tinta emas dan kekal harum sebagai pejuang sejati tulian jawi di negara ini.

Al-Fatihah.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 09 SEPTEMBER 2013

08 September 2013

'PAK MATLOB WAS A LANGUAGE MAESTRO'

RICH LEGACY: Linguist's contribution to national language hailed

 KUALA LUMPUR: RENOWNED Jawi writer Mohammad@Mokhtar Talib, known as Pak Matlob, was a major contributor in the fields of language and literature, said Media Prima chairman Datuk Johan Jaaffar.

The 76-year-old writer died following a stroke at his residence in Semerah, Batu Pahat on Friday.

Johan, who extended his condolences to Pak Matlob's family, said the latter had dedicated his life to strengthening Bahasa Malaysia and enriching national literature.

"He was a maestro of language," he said.

Born on July 5, 1937, Pak Matlob had actively fought for Jawi literacy and had written over 20 editions of books teaching the basics of Jawi writing in his lifetime.

The writer had also written over 100 children's and teenagers' novels and drama scripts.

Johan added that Pak Matlob had taught him Bahasa Malaysia when he attended Peserian Primary English School and Sekolah Menengah Semerah.

In his column in Berita Harian on Sept 5, 2012, Johan said Pak Matlob was one of the luminaries appointed by Dewan Bahasa dan Pustaka to draft new Jawi spellings.

Johan also wrote that Pak Matlob was an active member of the Johor Writers' Association and had conducted research on Johor-born writers.

SOURCE: NST, 08 SEPTEMBER 2013