TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 September 2013

LAHIRKAN RAMAI PAKAR BIO-PERUBATAN

HAMIM Samuri (dua kiri) melawat makmal baharu selepas majlis pertukaran MoU antara Mara dengan Radibems dan National Instruments Southeast Asia di KKTM, Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 27 Sept. - Penuntut Instrumentasi Bio-Perubatan, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang di sini, diminta menggunakan sepenuhnya kemudahan moden dan terkini di kolej itu dalam usaha melahirkan lebih ramai jurutera bioperubatan terbaik di negara ini.

Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri berkata, produk dikeluarkan KKTM Ledang seharusnya menjadi antara yang terbaik ketika Malaysia sedang menuju ke arah status negara maju menjelang 2020 dan memerlukan ramai pakar dalam bidang berkenaan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, sesebuah negara maju akan beralih daripada sebuah industri kepada industri yang lain termasuk Malaysia yang menuju kepada negara berorientasikan perkhidmatan.

"Negara maju menjadikan industri perkhidmatan sebagai teras dan bidang perubatan seperti ini adalah satu daripada fokus utama," katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Amanah Rakyat (Mara), Radibems Sdn. Bhd. dan National Instruments Southeast Asia Sdn. Bhd. di KKTM Ledang di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Radibems, Mohamed Nasir Talib; Pengarah Urusan National Instruments Southeast Asia, Chandran Nair dan Pengarah KKTM Ledang, Ahmad Jalaludin Mohd. Wahi.

Hamim berkata, Malaysia perlu menyediakan perkhidmatan perubatan sebaik mungkin bagi menepati status negara maju dan bukan saja membabitkan peralatan tetapi juga teknologi, aplikasi serta pengalaman dan kemahiran.

"Saya mahu lihat pelajar yang dihasilkan di sini mampu bersaing dan benar-benar menguasai kecanggihan teknologi bio-perubatan yang semakin berkembang ketika ini. Kalau boleh kita ingin menjadi sebuah negara tumpuan bagi negara lain dalam bidang ini," katanya.

Menurutnya, negara ini dengan segala kepakaran yang ada perlu mengenal pasti penyakit-penyakit rumit masa kini dan menjadi perintis untuk kaedah merawat serta menyembuhkannya.

Pada masa sama katanya, pesakit dalam negara tidak seharusnya dilupakan dan mereka perlu diberi rawatan terbaik melalui kelengkapan paling moden serta mampu membiayainya tanpa dibebankan dengan kos perkhidmatannya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: