TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

19 September 2013

FAN PAGE KELAB 1MALAYSIA PERINGKAT NEGERI DILANCAR

ABD. Razak Minhat (kiri) dan Hamdan Hasnan melancarkan Fan Page Kelab 1Malaysia Peringkat Negeri 2013 dan Hari Terbuka Pusat Maklumat Rakyat di Pejabat Jabatan Penerangan, Ledang, Johor, semalam. 
 
LEDANG 18 Sept. - Jabatan Penerangan negeri hari ini melancarkan Fan Page Kelab 1Malaysia Peringkat Negeri 2013 dan Hari Terbuka Pusat Maklumat Rakyat bagi mengukuh dan memastikan penyampaian maklumat lebih berkesan seiring perkembangan semasa.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat sambil disaksikan oleh Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Hamdan Hasnan di pekarangan Pejabat Penerangan Daerah Ledang, di sini.

Abd. Razak berkata, pelancaran kelab itu tepat pada masanya selaras dengan ledakan maklumat menerusi internet yang boleh diakses melalui pelbagai kemudahan seperti komputer riba, telefon pintar, tablet dan alat komunikasi masa kini.

Katanya, sebarang bentuk maklumat boleh disebarkan dengan cepat dan dengan cara tersebut pengikut kelab peminat itu boleh mendapatkan informasi pada bila-bila masa tidak kira di mana.

"Diharapkan Fan Page Kelab 1Malaysia akan menjadi platform untuk ahli atau para pengikutnya mengutarakan pendapat dan bertukar-tukar fikiran atau maklumat.

"Jadi diharap pihak pengendali atau pengurusan kelab peminat ini memantau segala aktivitinya. Kalau ada persoalan terutama daripada orang muda, jawapan yang tepat dan jelas mesti diberikan supaya mereka faham dan tidak keliru," katanya.

Menurutnya, langkah tersebut penting kerana ketika ini terdapat banyak sumber di internet seperti blog dan media sosial yang tidak bertanggungjawab memutar belit fakta sehingga golongan muda mendapat maklumat tidak benar sekali gus merosakkan minda.

Abd. Razak bagaimanapun percaya Jabatan Penerangan mampu menyedia bahan-bahan berkualiti, relevan dan menepati kehendak semasa dengan menghubungkan pelbagai maklumat terkini yang diperlukan.

Malah, beliau turut menggalakkan pelajar supaya melayari kelab peminat itu kerana terdapat pengetahuan mengenai sejarah negara dan penerangan Rukun Negara bagi mengukuhkan jati diri selain menghindarkan mereka dengan laman web tidak berfaedah.

Dalam perkembangan lain, Hamdan memaklumkan bahawa ketika ini terdapat 67 Pusat Maklumat Rakyat di seluruh negeri dengan keahlian 2,680 dan diharap kewujudannya dapat memberi manfaat selaras menjadikan masyarakat bermaklumat menjelang 2020.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: