TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 September 2013

MOTIF BUNUH ISTERI, MERTUA DISIASAT

LEDANG 15 Sept. - Polis masih menyiasat motif seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang membunuh diri selepas menembak mati isteri dan bapa mertuanya dalam dua kejadian berasingan di Labis dan di sini lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, andaian bahawa suspek, Fadzly Omar, 29, mempunyai masalah rumah tangga dengan isterinya, Norakmal Abd. Kadir, 26, atau keluarga mertuanya masih belum dapat dipastikan.

"Kita masih siasat dalam semua aspek punca suspek menembak isteri dan bapa mertuanya. Ketika ini kita dapatkan maklumat ahli keluarga dan sumber lain.

"Siasatan awal mendapati suspek melepaskan satu das tembakan di sebelah tepi kepala bapa mertuanya sebelum menembak dirinya sendiri di kepala.

"Kejadian berlaku di ruang tamu rumah dan semasa itu anak lelaki suspek berusia kira-kira dua tahun berada di luar rumah. Pistol yang digunakan ialah jenis Revolver .38," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini hari ini.

Harun berkata, bapa mertua suspek masih hidup semasa dihantar ke Hospital Tangkak oleh orang awam, namun meninggal dunia sebaik sahaja tiba di hospital kerana cedera parah.

"Siasatan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod berkaitan masalah mental dan juga tidak pernah mempunyai masalah disiplin sebelum ini selain berkhidmat dengan cemerlang. Kita tidak pasti semasa kejadian suspek sedang bertugas atau sebaliknya. Dia membawa anak tunggalnya itu bersama ke rumah bapa mertuanya dengan menaiki kereta sebelum meninggalkan anak di luar rumah sebaik sahaja sampai," katanya.

Beliau berkata, kesemua jenazah dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: