TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

23 September 2013

STMICROELECTRONICS BERI SUMBANGAN KEPADA ANAK YATIM, WARGA EMAS

ABD. Razak Minhat menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim sambil diperhatikan oleh Tan Chun Sheng (kanan) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Maahad Muar, semalam. 
 
MUAR 22 Sept. - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah 300 anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dari bandar ini dan Ledang apabila menerima sumbangan daripada syarikat STMicroelectronics yang telah beroperasi sejak 39 tahun lalu di sini.

Sumbangan melalui Program Kami Prihatin itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Pengurus Besar STMicroelectronics, Tan Chun Sheng di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Maahad Muar, di sini hari ini.

Program anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Muar dan Ledang itu turut dihadiri Pegawai JKM Muar, Nazri Hussin; Pegawai JKM Ledang, Norhayati Kadir dan Naib Presiden Kumpulan Bahagian Pembangunan Mapan Korporat syarikat itu, Alain Danielle.

Chun Sheng berkata, program tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial syarikat berkenaan bertujuan menzahirkan keprihatinan syarikat tersebut terhadap komuniti setempat terutamanya golongan yang kurang bernasib baik.

"Menerusi program seumpama ini, kita dapat merapatkan lagi perhubungan supaya lebih mesra dan berharap penerima berasa sentiasa diberi perhatian oleh masyarakat.

"Perkara ini amat penting kerana dapat menyuntik semangat dan sebagai motivasi kepada mereka untuk menghadapi kehidupan pada masa akan datang," katanya.

Selain itu, program tersebut dapat memberi pendedahan kepada orang ramai tentang keadaan golongan kurang bernasib baik dan memberi kesedaran tentang perkhidmatan yang disediakan pihaknya.

Sementara itu, Abd. Razak berkata, peranan yang dimainkan syarikat tersebut amat dihargai dan kerajaan negeri mengalu-alukan usaha murni seperti itu supaya golongan kurang bernasib baik tidak disisih atau dilupakan.

Beliau berkata, kewujudan kilang STMicroelectronics hampir 40 tahun di Tanjung Agas dekat sini sememangnya sinonim dengan penduduk setempat selain memberikan 300 peluang pekerjaan terutama kepada golongan muda.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 23 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: