TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

04 September 2013

UiTM-PTNJ BUAT KAJIAN, PENYELIDIKAN DI TAMAN HUTAN LAGENDA

AYUB Rahmat (kiri) dan Omar Samat bertukar memorandum antara Universiti Teknologi Mara Shah Alam dengan Perbadanan Taman Negara Johor di Dewan Utama Taman Negara Johor, dekat Ledang, semalam.
 
LEDANG 3 Sept. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) untuk terus melakukan kajian dan penyelidikan saintifik di Taman Hutan Lagenda, di sini.

MoU itu dimeterai Reaktor UiTM Johor, Dr. Omar Samat yang mewakili UiTM Shah Alam nmanakala Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat mewakili PTNJ.

Majlis tersebut disaksikan Pengarah PTNJ, Suhairi Hashim dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM Shah Alam, Prof. Dr. Ir. Abdul Rahman Omar dan merupakan lanjutan daripada kerjasama sebelum ini.

Abdul Rahman berkata, MoU itu bertujuan mengumpulkan data persekitaran fizikal, ekosistem dan kepelbagaian biologi, menjalankan penilaian sosioekonomi, fungsi alam sekitar dan sebagainya.

Menurutnya, kajian dan penyelidikan itu juga untuk menilai sumber bagi industri ekopelancongan dan daya tarikannya serta mengenal pasti ancaman semasa dan jalan penyelesaiannya.

"Kita juga mahu berkongsi kepakaran serta pengalaman untuk meneroka dan mengeksploitasi khazanah yang ada di Taman Hutan Lagenda, apa sahaja sama ada bahan galian, logam dan ini semua akan didokumentasikan.

"MoU ini akan diperbaharui setiap tiga tahun dan merupakan lanjutan daripada Ekspedisi Saintifik UiTM-PTNJ 2011. Untuk rekod baharu di sini, kita temui antaranya spesies flora yang masih tidak punya nama tempatan tetapi nama saintifiknya 'Maesa fraserian' yang tidak terdapat di tempat lain kecuali di Fraser Hill, Pulau Pinang," katanya.

Abdul Rahman berkata, penemuan baharu itu sudah tentu akan memberi kesan kepada pembangunan sosioekonomi negara seterusnya mendekatkan lagi UiTM dengan masyarakat untuk membongkar kekayaan yang terdapat di situ.

Beliau berkata, hasil kajian yang disertai seramai 100 penyelidik dari pelbagai latar belakang termasuk melibatkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu didokumentasikan dalam tiga buah buku dan filem.

Tiga buah buku itu yang bertajuk Gunung Ledang: An Expose of Biodiversity, Gunung Ledang: Geology, Biodiversity and Socio-enonomic Environment dan A Photographic Tribute To The Wild Orchids of Johor National Parks dilancarkan hari ini sebelum MoU tersebut.

Sementara itu, Suhairi berkata, pelbagai penerokaan dan penemuan biodiversiti telah direkodkan dan kepelbagaian flora dan fauna ditemui akan dibukukan supaya dapat dijadikan rujukan pada masa depan.

Katanya, tanggungjawab PTNJ amat berat dalam memelihara dan memulihara seluruh kawasan biodiversiti di kawasan yang diwartakan sebagai Taman Negara Johor dan sebarang usaha ke arah itu amat dialu-alukan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 04 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: