TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

03 September 2013

KONTINJEN PEJABAT TANAH DAERAH LEDANG JUARA KESELURUHAN PERBARISAN KEMERDEKAAN

Zulkurnain Kamisan (enam dari kanan) bersama kontinjen Pejabat Tanah Ledang yang muncul johan keseluruhan pertandingan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Daerah Ledang di Dataran Ledang, Tangkak, baru-baru ini. 
 
LEDANG 2 Sept. - Dengan mengenakan busana zaman Kesultanan Melayu yang cantik lengkap dengan tombak dan keris yang terselit di pinggang berjaya menarik perhatian hakim pertandingan memilih kontinjen Pejabat Tanah Daerah Ledang sebagai johan pakaian terbaik.

Mereka juga diumumkan sebagai kontinjen keseluruhan terbaik sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 peringkat daerah ini yang diadakan di Dataran Ledang, Tangkak, kelmarin.

Selain johan pakaian terbaik, kontinjen itu turut mendapat tempat ketiga sepanduk terbaik bagi kategori Jabatan Kerajaan.

Bagi pertandingan kibaran Jalur Gemilang, pencahayaan dan halaman indah kategori bangunan kerajaan, Pejabat Tanah Ledang mendapat tempat ketiga setelah tewas kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Ledang dan Pejabat Kesihatan Ledang.

Empat kategori dipertandingkan iaitu perbarisan terbaik; pakaian terbaik; kenderaan kreatif dan sepanduk terbaik yang dinilai sempena perarakan Hari Kemerdekaan Ke-56 itu yang bermula dari Jalan Paya Mas ke Dataran Ledang.

Sebanyak 78 kontinjen menyertai acara perarakan melibatkan peserta daripada jabatan kerajaan, swasta, badan berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah selain kontinjen Rakyat Didahulukan terdiri daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pewaris Merdeka (kanak-kanak tadika).

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin; Pentadbir Tanah Daerah, Shafie Ahamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, M. Asojan; ADUN Serom, Abd. Razak Minhat dan ADUN Tangkak, Ee Chin Lee.

Zulkurnain turut menyampaikan perutusan Menteri Besar dan melepaskan 56 ekor burung merpati sebagai simbolik perasmian sambutan Hari Kemerdekaan daerah berkenaan.

Bagi pertandingan perbarisan dan pakaian terbaik kategori Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM) dimenangi JPMM Serom, kategori swasta dan NGO diraih kontinjen Wanita UMNO Ledang.

Kategori sekolah pula dimenangi Sekolah Menengah Agama Lughatul Arabiah, kategori Rakyat Didahulukan disandang JKKK Kampung Parit Pulai manakala kategori Pewaris Merdeka masing-masing dimenangi Tadika ABIM dan Tadika Kemas.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 03 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: