TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 September 2013

'TAKUT BERADA DI SAMPING SUAMI'

Ledang: "Norakmal sebelum ini pernah menyuarakan ada ketikanya dia takut apabila berada di samping suaminya dan terpaksa mengikut saja arahan.

"Saya ingatkan itu hanya masalah biasa dalam rumah tangga dan tidak sangka menantu (Fadzly) bertindak sejauh ini," kata Rogayah Alip, 62, semalam.

Rogayah ibu kepada Norakmal Abdul Kadir, 28, yang mati ditembak suaminya Lans Koperal Fadzly Omar, 29, di kuarters polis FELDA Chempelak, Labis, Segamat, kelmarin.

Pada masa sama, Fadzly turut maut selepas menembak dirinya sejurus menembak mati bapa mentuanya Abdul Kadir Md Arif, 66, di rumah mangsa di Jalan Sialang, Tangkak.

Menurut Rogayah, sejak berkahwin tiga tahun lalu, menantunya dan Norakmal tinggal berasingan kerana tuntutan kerja.

"Norakmal yang bekerja sebagai kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tangkak tinggal bersama kami manakala Fadzly di kuarters polis FELDA Chempelak.

"Fadzly pendiam dan jarang bercampur dengan ahli keluarga lain. Dia pulang setiap Jumaat untuk mengambil Norakmal dan anak lelaki mereka (Fatih Haziq, dua tahun)," katanya.

Menurut Rogayah, pada hari kejadian, Norakmal baru sehari bermalam di FELDA Chempelak dan sepatutnya pulang pada hari ini sempena cuti umum Hari Malaysia.

Katanya, Norakmal juga tidak pernah menceritakan masalah rumah tangga yang dihadapi.

Pada Aidilfitri lalu, Norakmal dan Fadzly juga tidak menunjukkan perubahan manakala arwah suaminya pula ceria seperti biasa.

"Kami sekeluarga terkejut dan tidak percaya kejadian ini berlaku. Walaupun sedih, kami reda dengan ujian Tuhan ini," katanya.

Jenazah Abdul Kadir dan Norakmal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gontang, Tangkak selepas solat Asar, semalam.

Jenazah Fadzly pula dibawa ke kampung halamannya di FELDA Palong 3, Negeri Sembilan dan dikebumikan di situ.

SUMBER: HARIAN METRO, 16 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: