TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

22 September 2013

ANAK GHANI OTHMAN BERTANDING UNTUK TERUSKAN LEGASI BAPA

JOHOR BAHRU 21 Sept. - Bagi meneruskan legasi bapanya yang merupakan bekas Menteri Besar, Mohammad Jamil Helmi Abdul Ghani menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ledang yang dilepaskan penyandangnya, Musa Khatiran yang telah melepasi had usia.

Mohammad Jamil, 31, yang merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Sungai Mati hadir menyerahkan borang pencalonannya pada pukul 11 pagi dan bakal berdepan pencabar, Aidil Roslan Mohamad dan Mohd. Razali Ismail.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata, hasratnya untuk bertanding adalah kerana mahu membawa suara generasi muda dalam usaha meremajakan parti.

"Saya mahu mereka melihat saya sebagai anak muda yang mahukan proses transformasi politik dalam UMNO terlaksana. Janganlah melihat saya sebagai anak seorang bekas menteri besar yang sudah menerajui negeri ini selama 18 tahun.

"Bapa juga menyokong saya dengan keputusan ini, malah turut menasihatkan saya untuk bersaing secara sihat. Sokongan yang diberikan adalah sebagai seorang bapa kepada anak, tidak lebih daripada itu," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi anak bekas pemimpin negeri ini iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Nornekman Osman juga bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru.

Nornekman, 39, yang merupakan anak Datuk Osman Sapian bakal menghadapi tentangan empat penjuru apabila dicabar Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jalan Cempaka, Musbah Yusof dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Taman Putera, Saiful Rizal Abd. Ghani serta Ketua Pemuda UMNO Cawangan Jiran Sepakat, Tom Gaddafi Anwary.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 22 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: