TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

25 September 2013

RM7 JUTA BINA MASJID BUKIT GAMBIR

MASJID Jamek Bukit Gambir di Bukit Gambir, Ledang, Johor di tepi jalan utama akan diroboh dan dibina baharu dengan kos RM7 juta bagi menampung keperluan jemaah yang semakin meningkat.
 
LEDANG 24 Sept. - Masalah kesesakan di Masjid Jamek Bukit Gambir setiap kali solat Jumaat bakal diatasi apabila sebuah masjid baharu yang lebih luas bakal dibina di tapak asal dalam masa terdekat dengan kos RM7 juta.

Pengerusi masjid tersebut, Abu Bakar Md. Affandi berkata, masjid itu yang mendapat peruntukan daripada kerajaan Pusat dijangka mampu menampung 1,200 orang dan secara tidak langsung memberikan keselesaan kepada jemaah untuk beribadat.

"Masjid lama yang berusia hampir 50 tahun ini dibina dengan kos sebanyak RM35,000 dan hanya mampu menampung 400 jemaah terutama ketika solat Jumaat. Semasa solat sunat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, bilangan jemaah lebih ramai.

"Pada tahun 2000, pembesaran masjid sudah dilakukan, namun masih belum mampu menampung jemaah dari lima kampung dan 11 taman perumahan di sekitar Bukit Gambir," katanya ketika ditemui di masjid tersebut di sini.

Abu Bakar berkata, kedudukan masjid itu yang strategik di tepi jalan utama menghubungkan Muar dan Pagoh membuatkannya menjadi pilihan orang ramai untuk singgah bagi menunaikan ibadah.

Menurutnya, jumlah jemaah dijangka akan terus meningkat apabila Plaza Tol Bukit Gambir yang masih dalam pembinaan siap hujung tahun ini, di samping pembukaan banyak kawasan perumahan di kawasan berkenaan.

"Perancangan membina bangunan baharu amat dinantikan penduduk terutamanya selepas bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menyelesaikan masalah pengambilan tanah bernilai RM2 juta tidak lama dahulu.

"Selain untuk tujuan melakukan ibadat, masjid itu turut digunakan bagi majlis keramaian seperti Maulidur Rasul, kelas takmir dan kursus haji," katanya.

Sehubungan itu, syarikat korporat dan orang ramai yang dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan bagi menjayakan pembinaan masjid yang menjadi salah satu mercu tanda baharu di kawasan tersebut.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 25 SEPTEMBER 2013

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: