TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

16 September 2013

MANGSA BUNUH TAKUT DENGAN SUAMI

Oleh Azidan Nahar; Abnor Hamizam Abd Manap


Ledang: "Anak saya pernah beritahu takut dengan suami tapi bila saya tanya apa masalahnya, dia diam.
"Hubungan kami dengan menantu pun baik. Tak sangka pula jadi macam ni."

Rogayah Alip, 62, masih terkejut dengan tragedi menimpa anaknya, Norakma Abd Kadir, 28, yang maut ditembak suaminya, Lans Koperal Fadzly Omar, 29, dalam kejadian di kuarters Pondok Polis FELDA Chempelak, Labis, kelmarin.

Selepas kejadian itu, Fadzly ke rumah mentuanya di Jalan Sialang dekat sini, lalu menembak mati bapa mentuanya, Abdul Kadir Md Arif, 66, sebelum menembak diri sendiri dalam kejadian pada jam 7.15 malam itu.

Tinggal berasingan

Rogayah berkata, sejak berkahwin tiga tahun lalu, pasangan itu tinggal berasingan kerana anaknya seorang kerani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tangkak berhampiran rumah keluarga, manakala Fadzly di kuarters polis FELDA Chempelak.

"Fadzly pendiam dan jarang bercampur dengan ahli keluarga lain. Biasanya dia pulang ke rumah kami setiap Jumaat untuk mengambil Norakma dan anak mereka yang berusia dua tahun, Fatih Haziq," katanya.

Adik Norakma, Mohd Noorshairazi, 25, bersama ibunya dalam perjalanan ke pekan Ledang sebelum dihubungi abang sulungnya, Mohd Izam, 34, yang memaklumkan ada sesuatu tidak kena lalu meminta mereka segera pulang.

Berlaku pertengkaran

"Abang kata ada pertengkaran dan tidak sedap hati, lalu kami berpatah balik.

"Sebaik tiba di pekarangan rumah, saya terdengar bunyi dua das tembakan dari arah ruang tamu," katanya.

Noorshairazi berkata, ketika itu kakaknya, Nurzafirah, 26, dan Mohd Izam berada di luar rumah bersama Fatih manakala bapa mereka dan Fadzly di dalam rumah dengan keadaan pintu tertutup.

Difahamkan, Fadzly mengarahkan ahli keluarga keluar dari rumah kecuali bapa mentuanya.

"Sebaik mendengar tembakan, kami memasuki rumah dan mendapati Fadzly terkulai di meja manakala ayah terlentang di lantai ruang tamu dengan masing-masing berlumuran darah," katanya.

Nafi ada masalah mental

Sementara itu di Gemas, keluarga Fadzly menegaskan anggota polis itu tidak mempunyai masalah mental.

Adik lelakinya yang enggan namanya disiarkan berkata, Fadzly tidak pernah menunjukkan tanda mengalami tekanan mental atau masalah kesihatan fizikal setiap kali pulang ke kampung.

"Kami rapat dan kali terakhir kami bertemu ialah ketika abang pulang bersama keluarganya bulan lalu," katanya di rumahnya di FELDA Palong Tiga di sini, semalam.

Ibunya, Norhani Bakar, enggan ditemui media, manakala bapanya, Omar Ujang, meninggal dunia tahun lalu.

SUMBER: BH, 16 SEPTEMBER 2013

Tiada ulasan: