TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

26 September 2013

MEMPERKASA MODAL INSAN

ABDUL Mutalip Abdul Rahim (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan nasyid pada Majlis Ujian Membaca al-Quran Murid-murid Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor Peringkat Negeri Ke-65, 1434 Hijrah di Dewan Jubli Intan Tangkak, Johor, kelmarin. 
 
LEDANG 25 Sept. - Kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan dalam usaha memperkasakan modal insan bagi memastikan kemajuan yang sedang dibina seimbang dengan pembangunan fizikal, sosial dan ekonomi.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu perlu bagi memastikan pembangunan sedia ada dilakukan secara menyeluruh seiring tuntutan dunia dan akhirat dalam usaha membentuk bangsa dan negeri ini.

"Kerajaan akan terus beri komitmen dalam usaha membangunkan modal insan cemerlang, berkualiti dan mempunyai sahsiah terpuji. Justeru, jalan kehidupan seharian dan amalan seimbang antara dunia serta tuntutan agama akan mampu memperkasa sesebuah bangsa dan negara.

"Ini tentunya akan mencapai kejayaan dunia dan akhirat," katanya semasa merasmikan Majlis Ujian Membaca al-Quran Murid-murid Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor Peringkat Negeri Ke-65, 1434 Hijrah di Dewan Jubli Intan Tangkak di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abdul Mutalip Abdul Rahim. 

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat dan Pengarah Agama negeri, Datuk Abd. Razak Hassan.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri sentiasa mengangkat dan meninggikan syiar Islam dan contoh yang boleh dilihat melalui majlis ujian tersebut yang bukan sekadar memperdengarkan kemerduan bacaan al-Quran, malah penghayatan ajaran kitab suci itu.

Beliau berkata, agenda memartabatkan al-Quran dilakukan dalam banyak program bermula di peringkat sekolah termasuk dalam bidang kokurikulum dan usaha berkenaan diterima baik oleh umat Islam.

Mengenai kelebihan pertandingan tersebut, beliau mengakui usaha itu dapat mencungkil bakat dan potensi peserta bagi diketengahkan kemahiran mereka supaya dapat dikembangkan sepenuhnya.

"Ini secara tidak langsung dapat menyumbang untuk mengukuhkan jati diri dan semai keyakinan anak-anak kita dalam menghadapi banyak cabaran masa kini, selain mengelak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan akhlak," katanya.

Sementara itu, Abd. Razak berkata, sebanyak 300 murid dari sekolah agama seluruh negeri menyertai pertandingan selama dua hari berkenaan.

Sebanyak 15 kategori, antaranya Ujian Tilawah al-Quran Tahap Satu kategori Putera dan Puteri, Ujian Tafsir al-Quran Tahap Satu dan Dua untuk Putera dan Puteri, Syarahan (Bahasa Melayu dan Bahasa Arab), seni khat serta nasyid terbuka.

"Program ini adalah usaha membentuk generasi muda supaya lebih membudayakan al-Quran. Kita harap program sebegini dapat melahirkan lebih ramai pelajar bukan sahaja mengetahui isi kandungan al-Quran, malah memahami keperluan fardu ain dan fardu kifayah lain," katanya.

Dalam pertandingan berkenaan, daerah Johor Bahru muncul juara keseluruhan apabila memenangi lima daripada 15 kategori, antaranya Ujian Tilawah al-Quran Tahap Dua yang dimenangi pelajar tahun empat Sekolah Agama Gelang Patah, Abdul Azim Abu Bakar serta Nur Faihah Ibrahim yang mengungguli kategori Ujian Tilawah al-Quran Tahap Dua Puteri.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 26 SEPTEMBER 2013
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan: