PENGUNJUNG SETIA

25 Ogos 2010

SUSAHKAN PENIAGA

TANGKAK – Gara-gara berhadapan kekangan kemudahan elektrik, peniaga kecil yang berniaga di tapak bazar Ramadan Jalan Naib Long d terpaksa berbuka dan mengemas barangan dalam keadaan gelap.

Wakil peniaga, Rosmawati Ismail berkata, pihaknya tidak berpuas hati dengan prasarana yang disediakan kerana gagal memberi kemudahan sempurna kepada peniaga bazar Ramadan di sini.

“Kejadian sebegini masih berlaku seperti yang dialami kami pada tahun lepas di mana bekalan elektrik hanya ada pada minggu pertama jualan pasar Ramadan.

“Pada minggu seterusnya bekalan elektrik yang diterima tidak menentu. Tahun ini, bekalan elektrik langsung tidak dapat dibekalkan dan kekangan ini menyusahkan kami untuk menjalankan perniagaan kerana ada sesetengah peniaga menggunakan elektrik untuk memproses bahan jualan mereka untuk dijual.

“Selain itu, kemudahan seperti tempat solat juga tidak disediakan dan ini amat menyukarkan peniaga di sini untuk menunaikan solat kerana rata-rata peniaga di beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menumpang rumah penduduk berdekatan untuk menunaikan solat kerana tidak mempunyai masa terluang untuk pergi ke masjid yang sememangnya jauh daripada kawasan bazar Ramadan ini.

“Kami juga turut mengalami kesukaran untuk membuang air kerana tiada tandas disediakan malah kawasan tapak bazar Ramadan yang agak terpencil mengurangkan kunjungan daripada penduduk setempat.

“Apa yang sangat dikesalkan ialah sewa yang dikenakan kepada kami mahal tetapi pengurusan dari segi tempat, kemudahan, prasarana tidak sebagus dan berbaloi dengan sewa yang dikenakan dan kami amat tidak berpuas hati,” katanya.

Beliau berkata, sesetengah kawasan bazar Ramadan ini yang berbatu konkrit menghalang pengunjung untuk berkunjung ke sini kerana ada sesetengah pengunjung yang bertumit tinggi sukar untuk berjalan bagi membeli makanan di bazar ini.

“Harapan kami selaku peniaga di sini supaya pihak bertanggungjawab tidak mengambil tindakan sambil lewa untuk melakukan kerja pemantauan bagi memastikan kebajikan dan kemudahan peniaga di sini dalam keadaan yang baik dan selesa,” katanya.

Salah seorang peniaga air buah-buahan dan sata, Saiful Abu Talib, 30, berkata, peniaga seperti dia yang memerlukan bekalan elektrik untuk memproses buah-buahan untuk dijadikan jus sangat terasa perit apabila bekalan elektrik tidak dapat berfungsi hampir tiga hari.

“Oleh sebab kekangan itu, saya turut mengalami kerugian kerana tidak dapat menjalankan jualan jus buah-buahannya seperti hari sebelumnya sedangkan sewa telah dibayar sepenuhnya dan ketika dihubungi pihak bertanggungjawab mereka menyatakan akan bertindak segera namun ianya hanya kata-kata tanpa tindakan sahaja.

“Paling menyedihkan, kami terpaksa berbuka dan berkemas dalam keadaan gelap yang sememangnya amat menyukarkan dan melambatkan perjalanan kami untuk pulang ke rumah.

“Ini kerana tidak semua peniaga di sini tinggal di kawasan yang dekat dengan bazar Ramadan ini,” katanya.

Sinar Harian cuba untuk mendapatkan penjelasan daripada wakil pihak berkuasa yang menguruskan bazar Ramadan ini petang kelmarin, tetapi gagal.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 25 OGOS 2010

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

KALAU MENYUSAHKAN PENAIAGA, TAK USAHLAH PROMO DAN BUAT TAPAK TU. BERDOSA JE. KALU NAK BUAT ,BUAT BETUL2, IKLAS DAN OBJEKTIF. KALAU ALA KADAR ORANG TENGOK PBT NI MAIN2 DAN TAK ADA WIBAWA, TAK BOLEH DI HARAP...SIAPA YG SUSAH. SIAPA MALU.....