TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

09 Oktober 2010

LGM PERGIAT PENERANGAN KAD JUALAN GETAH

LEDANG 8 Okt. - Dalam usaha mengekang masalah penjualan getah curi, Lembaga Getah Malaysia (LGM) mempergiatkan usaha memberi penerangan mengenai Kad Pendaftaran Jualan Pekebun Kecil Getah kepada pihak yang berkaitan.

Semalam kira-kira 200 orang terdiri daripada pembeli getah berlesen, ketua kampung serta pegawai polis dari seluruh daerah Ledang dan Muar menghadiri majlis penerangan dan seminar yang diadakan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini.

Seminar itu turut membabitkan pameran teknologi terkini dalam industri getah dan ia dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan.

Asojan dalam ucapannya yakin program penerangan itu dapat mencegah kes kecurian getah dan mengatasi masalah penjualan getah curi yang dilaporkan semakin meningkat.

"Dengan penggunaan Kad Pendaftaran Jualan Pekebun Kecil Getah ini, hanya pekebun kecil yang berdaftar boleh membuat jualan getah kepada pembeli getah berlesen.

"Kerajaan amat berharap usaha ini boleh mengekang aktiviti penjualan getah curi dan kegiatan penipuan kerana maklumat pada kad pendaftaran tersebut adalah amat terperinci merangkumi keluasan kebun serta jenis pokok getah," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan LGM, Megat Abd. Rahaman Mohamed serta Pengarah LGM Wilayah Selatan, Shamsudin Atan.

Utusan Malaysia difahamkan, daripada kira-kira 31,000 pekebun kecil getah di seluruh negeri ini, seramai 7,000 telah memiliki kad tersebut sejak ia diperkenalkan Februari lalu.

Dalam pada itu, Asojan berharap para pekebun kecil getah akan terus mengaplikasikan pelbagai teknologi pertanian terkini dalam meningkatkan pengeluaran mereka.

"Menerusi teknologi yang diperkenalkan oleh LGM, para pekebun bukan saja boleh menikmati hasil menerusi getah yang dikeluarkan malah batang pokok itu juga mendatangkan sumber menerusi industri perkayuan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 9 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: