TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

24 Oktober 2010

TERGAMAK BAKAR SUAMI

Oleh MOHD HARZRUL AMINUDDIN

RANAP... keadaan rumah pasangan suami isteri yang terbakar selepas dipercayai dibakar oleh isterinya yang mengalami sakit mental.
RANAP... keadaan rumah pasangan suami isteri yang terbakar selepas dipercayai dibakar oleh isterinya yang mengalami sakit mental.

ISMAIL... hanya cedera ringan.
ISMAIL... hanya cedera ringan.

LEDANG: Hanya kerana lambat menerima wang bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seorang isteri naik berang sehingga tergamak cuba membakar hidup-hidup suaminya di Taman Tun Syed Nasir, di sini, awal pagi semalam.

Lebih mengerikan, si suami yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) ditinggalkan begitu saja tanpa belas kasihan sebaik wanita itu, yang dipercayai mengalami masalah mental, menyalakan tilam kelamin dan melihat api semakin marak sambil tersenyum dari luar rumah.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi di Jalan Puyuh, Taman Tun Syed Nasir, mangsa, Ismail Ibrahim, 64, yang ditinggalkan berseorangan di dalam rumah hanya mampu menjerit meminta tolong sebaik menyedari rumahnya terbakar.

Isterinya yang berusia 50 tahun dikatakan keluar rumah dan hanya tersenyum melihat suaminya menjerit meminta tolong.

Tindakan wanita terbabit dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati apabila suaminya memberitahu mereka lewat menerima wang bantuan daripada JKM.

Ismail bernasib baik apabila jeritannya mengejutkan jiran tetangga lain yang nyenyak tidur seterusnya menyelamatkan bekas penarik beca itu yang cacat akibat kemalangan jalan raya.

Ketika ditemui, Ismail berkata, dia mengalami luka kecil pada kedua-dua belah tangan akibat melawan isteri ketika wanita itu membakar tilam.

Katanya, isterinya berang apabila diberitahu wang bantuan JKM lambat diterima, menyebabkan wanita itu mengambil sebilah pisau dan mengugutnya supaya menyerahkan duit itu.

“Sebelum kebakaran, saya menyuruh isteri supaya mengambil pil (ubat penenang) namun dimarahi, malah dia berkata ‘aku tak gila tapi kau yang gila’.

“Selepas itu dia terus membakar tilam sambil memegang sebilah pisau dan mengugut saya supaya berdiam diri,” katanya.

Ismail berkata, sebelum ini isterinya pernah cuba menetaknya dengan parang berikutan masalah sama.

“Kami kerap bergaduh kerana duit sejak kebelakangan ini dan peristiwa ini bermula sejak saya lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan dua tahun lalu.

“Selepas lumpuh saya tidak boleh bekerja lagi, membuatkan kami hilang mata pencarian. Kejadian itu membuatkan kami terpaksa bergantung harap dengan wang bantuan JKM saja,” katanya ketika ditemui di rumah anak saudaranya di sini.

Katanya, akibat tekanan hidup, isterinya yang mempunyai rekod kurang siuman mula bersikap panas baran serta kerap memaki hamun selain mengugut bunuh dengan senjata seperti parang dan pisau.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Muar, Razali Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam pada jam 4.06 pagi.

“Tiga jentera bersama 18 anggota bergegas ke tempat kejadian bagi mengawal kebakaran dan api berjaya dikawal sepenuhnya 10 minit selepas itu,” katanya ketika dihubungi.

Razali berkata, setakat ini bomba masih melakukan siasatan kerugian akibat kebakaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Harun Idris berkata, sehingga petang semalam, polis belum menerima laporan mengenai kejadian itu.

SUMBER: METRO AHAD, 24 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: