TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

02 Oktober 2010

49 PERATUS KES SELESAI

LEDANG – Penyelesaian 49 peratus kes melepasi kadar peratusan sepatutnya iaitu 40 peratus dalam operasi pada 1 Januari berakhir 23 September lalu menunjukkan komitmen tinggi anggota pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang dalam menangani masalah jenayah.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintenden Harun Idris berkata, peratus penyelesaian kes yang melepasi standard ditetapkan jabatan adalah satu kejayaan yang patut dibanggakan.

Menurutnya, usaha ini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Secara keseluruhannya, indeks kadar jenayah Ledang adalah sebanyak 23 peratus mengikut kes yang dilaporkan sepanjang tempoh operasi dijalankan.

“Kadar indeks kes jenayah yang dilaporkan berada dalam keadaan terkawal dan pihak polis masih terus melakukan operasi di lokasi panas mengikut laporan orang awam,” katanya.

Harun berkata, kes curi motosikal yang semakin berleluasa kini dilaporkan menurun sebanyak 31 peratus disebabkan banyak sekatan jalan dijalankan anggota polis trafik di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

“Bagi kes samun tanpa senjata api pula, berlaku penurunan sebanyak 35 peratus kes berbanding dengan jumlah kes yang dilaporkan pada tahun 2009 lalu.

“Penurunan kes yang paling banyak dilaporkan pada tahun ini adalah kes pecah rumah iaitu penurunan sebanyak 43 peratus bukti kejayaan IPD Ledang kerana berjaya mengurangkan kadar kes pecah rumah di sini,” katanya.

Selain itu katanya, pihak anggota turut dikerah membuat rondaan di kawasan perumahan yang dilaporkan sering berlaku kes pecah rumah dan balai bergerak polis ditempatkan di beberapa kawasan yang dikenal pasti.

“Malangnya, kes rogol di sini dilaporkan mengalami peningkatan yang amat membimbangkan kerana peningkatan sebanyak 190 peratus kes menunjukkan masalah sosial dalam kalangan remaja semakin menjadi.

“Kes rogol pada tahun ini difahamkan meningkat sebanyak 32 kes berbanding berbanding 2009 kerana pada tahun lalu, kes rogol dilaporkan tidak mengalami peningkatan mahupun menurun kepada tahun 2008,” katanya pada sidang media di IPD Ledang di Tangkak.

Katanya, bagi kes jenayah lain dilaporkan dalam keadaan terkawal, malah ada sesetengah kes mengalami penurunan berbanding pada tahun sebelumnya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 2 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: