TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

21 Oktober 2010

SEKOLAH DI MUAR DINASIHAT TUTUP

PEMANDANGAN sekitar bandar Muar yang diselubungi jerebu semalam.
PEMANDANGAN sekitar bandar Muar yang diselubungi jerebu semalam.

Elak jerebu beri kesan buruk kepada pelajar

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihatkan pihak pentadbiran sekolah di daerah Muar, Johor untuk menutup sementara sesi persekolahan berikutan keadaan jerebu yang berada pada tahap bahaya
di daerah itu. Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan situasi jerebu akan memberi kesan buruk terhadap kesihatan pelajar.

“Kalau ia sudah sampai tahap bahaya, maka pihak pentadbiran, pengetua atau guru besar sekolah boleh mengambil langkah menutup sekolah untuk sementara.

“Itu kalau sudah mencecah (bacaan IPU) 400, sudah dianggap bahaya, maka mestilah ditutup, sehingga situasinya bertambah baik,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai situasi jerebu di Muar, di pejabatnya di Bangunan Parlimen, semalam.

Masalah jerebu di daerah Muar yang berlarutan sejak beberapa hari lepas bertambah serius apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di daerah itu pada 11 pagi semalam mencecah tahap 432, iaitu dalam kategori bahaya.
Muhyiddin berkata, walaupun bacaan IPU menurun bawah paras 300, sekolah di daerah itu masih dinasihatkan tidak menjalankan sebarang aktiviti kokurikulum di luar kelas.

“MKN juga mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat bagi memantau serta mengawal keadaan jerebu, selain menggerakkan semua jawatankuasa di peringkat negeri dan daerah yang terbabit,” katanya.

Di JOHOR BAHRU: Sebanyak 204 sekolah menengah dan rendah kebangsaan serta jenis kebangsaan di Muar diarah ditutup hari ini, berikutan masalah jerebu teruk yang melanda daerah itu sejak semalam.

Bagaimanapun, arahan bercuti daripada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Muar itu hanya tertakluk kepada murid dan guru manakala pengetua, guru besar dan kakitangan sekolah bertugas seperti biasa.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Sufaat Tumin, berkata semua pengetua, guru besar dan pengurusan sekolah diminta mematuhi arahan menutup sementara sekolah sehingga tahap jerebu bertambah baik dan menggantikan sesi pembelajaran itu pada hari lain.

Di MELAKA, Kualiti udara di beberapa kawasan sekitar negeri ini merosot dengan IPU direkodkan meningkat kepada 111 pada jam 11 pagi semalam, berbanding 106 pada jam 7 pagi.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Abd Hapiz A Samad, berkata keadaan jerebu terutama di kawasan pusat Bandaraya Melaka Bersejarah sehingga tengah hari semalam juga berada di bawah paras tidak sihat.

“Angka ini (111) meningkat berbanding 106 pada jam 7 pagi semalam (kelmarin). Indeks bagi kualiti udara yang tidak sihat ialah melebihi bacaan 100,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 21 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: