TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

06 Oktober 2010

MAUT SEBELUM AMBIL PMR

Oleh Sharifah Zulaikha Syed Amali

LEDANG: Seorang pelajar berusia 15 tahun tidak sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang bermula semalam apabila terbunuh dalam kemalangan sejurus selepas membeli alat tulis sebagai persiapan terakhir menghadapi peperiksaan itu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 9.50 malam kelmarin, Samsul Hadi Salam, 15, dari Sengkang, dekat sini, dan bersekolah di Sekolah Menengah Bukit Gambir, membonceng motosikal ditunggang bapa saudaranya.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kemalangan berlaku di Batu 19, Sengkang, dekat sini, ketika mangsa bersama bapa saudaranya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli alat tulis di pekan Bukit Gambir.

Menurutnya, motosikal dinaiki Samsul Hadi dan bapa saudaranya bertembung sebuah motosikal lain dari arah bertentangan. Kemalangan itu turut meragut nyawa penunggang motosikal terbabit.

“Penunggang terbabit, S Shamuganathan, 37, mati di tempat kejadian manakala Samsul Hadi meninggal dunia setibanya di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF). Semua mangsa dibawa terlebih dulu ke Hospital Tangkak sebelum dirujuk ke HPSF ,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian Shamuganathan dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Sengkang.

Harun berkata, bapa saudara Shamsul Hadi, Rashid Lias, 38, cedera parah di kaki dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPSF.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987.

SUMBER: HARIAN METRO, 6 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: