TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 Oktober 2010

KAD JUALAN GETAH BENDUNG KES KECURIAN

ASOJAN (kanan) mendengar penerangan kakitangan Lembaga Getah Malaysia Wilayah Selatan pada pameran di Dewan Serbaguna Bukit Gambir.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Pekebun kecil getah di negeri ini perlu memahami sepenuhnya tujuan pendaftaran kad jualan getah yang giat dijalankan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) yang banyak memberi faedah kepada golongan berkenaan.

Dengan adanya Kad Pendaftaran Jualan Pekebun Kecil Getah itu, golongan penoreh berasa lebih selesa dan tidak khuatir hasil torehan mereka dicuri kerana penggunaan kad itu yang bakal dikuatkuasakan 1 Januari 2011 dapat membendung kes kecurian getah.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan, berkata kerajaan sentiasa menyokong usaha yang dijalankan oleh LGM bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah melalui pendaftaran kad jualan getah mahupun penggunaan teknologi terkini

Katanya, sehingga kini pelbagai usaha digiatkan LGM bagi menggalakkan pekebun kecil mendapat manfaat sepenuhnya daripada penanaman getah.

“Dulu pekebun kecil hanya memperoleh pendapatan melalui hasil penjualan susu getah atau getah beku yang tidak seberapa, tapi kini mereka boleh menikmati tambahan pulangan hasil yang optimum melalui penjualan kayu getah yang berkualiti.

“Usaha berterusan LGM dalam meningkatkan taraf pendapat pekebun kecil diteruskan melalui pembiakbakaan klon baru yang menghasilkan susu getah yang banyak dan kayu getah berkualiti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penerangan mengenai Kad Pendaftaran Jualan Pekebun Kecil Getah dan Pameran Mengenai Teknologi LGM di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini.

Program anjuran LGM Wilayah Selatan itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan LGM, Megat Abdul Rahman Mohamad; Pengarah LGM Wilayah Selatan, Shamsudin Atan; pembeli getah berlesen; penghulu mukim; ketua kampung dan pegawai polis dari seluruh daerah Muar dan Ledang.

Dua kertas kerja dibentangkan pada program itu yang disampaikan oleh Ketua Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan LGM, Mohd Noor Hassan bertajuk Kad Pendaftaran Jualan Pekebun Kecil Getah dan hubungkait dengan penguatkuasaan di bawah Peraturan LGM (Perbadanan) 1996 manakala Pengarah LGM Melaka, Zainudin Roji menyampaikan ceramah bertajuk Teknologi Terkini LGM.

Asojan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir, berkata LGM mengambil pendekatan dengan menyediakan pilihan teknologi kepada industri getah asli untuk diterima pakai secara komersial bagi meningkatkan produktiviti getah memandangkan torehan secara konvensional tidak lagi sesuai diamalkan.

Katanya, pelbagai teknologi baru diperkenalkan LGM seperti Sistem Torehan Kekerapan Rendah (LITS) diharap berupaya membantu pekebun kecil dan mereka dapat menggunapakai teknologi itu sesuai dengan harga getah yang tinggi bagi mempertingkatkan pendapatan mereka.

“Peningkatan pengeluaran getah pekebun kecil penting dalam konteks menambah pendapatan mereka kerana usaha itu bukan semata-mata bergantung kepada harga tapi peningkatan produktiviti sama penting dengan penggunaan teknologi yang disyorkan LGM,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 14 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: