TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 Oktober 2010

CEGAH PENYAKIT MENTAL - MB


M. ASOJAN diperiksa tekanan darahnya di tapak pameran Big Walk 2010 di Danga Bay, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 10 Okt. - Program pencegahan penyakit mental perlu diperluaskan di negeri ini bagi memberi pendedahan dan pengetahuan sebagai langkah awal menghindari penyakit itu.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, cara tersebut akan menyedarkan orang ramai tentang bahaya penyakit itu yang selama ini kurang diberikan perhatian.

"Program ini bukan sahaja memberi kesedaran kepada yang mempunyai masalah mental tetapi juga terhadap keluarga pesakit, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sekeliling.

"Setiap kita mempunyai peranan dan tanggungjawab bagi memastikan penjagaan kesihatan mental juga diberi keutamaan seperti penyakit lain," katanya pada Majlis Perasmian Big Walk 2010 di Teluk Danga di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M. Asojan.

Menteri Besar berkata, kefahaman individu serta masyarakat berkaitan masalah kesihatan dan penyakit mental masih rendah dan ia perlu dipertingkatkan.

"Perbincangan isu-isu berkaitan masalah kesihatan mental perlu lebih terbuka dan seterusnya memastikan pelaburan dalam penyelidikan dan kaedah rawatan lebih berkesan dapat dilakukan," katanya.

Beliau turut memuji program tersebut yang dianjurkan Badan Kebajikan Psikiatri Hospital Permai di sini kerana dapat menjelaskan kesan dan bahaya penyakit itu.

Menurutnya, program itu dapat meningkatkan kesedaran berkaitan perkongsian dan penjagaan penyakit mental serta pentingnya sokongan emosi dan moral kepada pesakit.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 11 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: