TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 Oktober 2010

TETAPKAN MEKANISME HARGA BARANG MUNASABAH

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menetapkan mekanisme bagi memastikan aktiviti pencatutan atau yang bermaksud perbuatan mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah terhadap barangan tidak berlaku secara berleluasa.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa perkara termasuk cukai yang dikenakan terhadap barangan dan kos pembekal akan diambil kira dalam menetapkan mekanisme bagi tujuan itu.

"Ini adalah antara perkara yang dicadangkan melalui Rang Undang-Undang Kawalan Harga dan Antipencatutan 2010. Bagi menangani isu pencatutan ini dalam semua keadaan satu kaedah yang lebih komprehensif perlu diwujudkan," katanya ketika membentangkan rang undang-undang tersebut bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, antara lain perkara yang akan diambil kira dalam menetapkan mekanisme itu juga termasuk keadaan penawaran dan permintaan barangan, situasi dan keadaan geografi atau pasaran produk atau perkara-perkara lain yang mempengaruhi harga barang dan caj perkhidmatan.

Sementara itu, ketika sesi perbahasan, Hamim Samuri (BN-Ledang) menyarankan supaya kerajaan memantau penetapan harga alat ganti kereta terutama oleh syarikat pengeluar kereta nasional Proton yang dikatakan terlalu mahal.

Katanya, pengguna juga tidak ada alternatif untuk mendapatkan alat ganti yang lebih murah dan lebih munasabah.

Saranan itu disokong Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) yang bersetuju kerajaan menubuhkan Majlis Penasihat Harga terutama bagi melihat semula harga barangan termasuk alat ganti kereta yang terlalu tinggi.

"Siapa yang tahu alat ganti kereta ini barang tulen atau tidak dimasukkan dalam kereta kita. Isteri saya sendiri pernah kena RM12,000 kerana tukar alat ganti kereta. Hendak tuduh tidak boleh. Dengan adanya langkah seperti ini ia akan mengawal kenaikan harga barang dan mengelak rakyat daripada dizalimi," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 14 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: