TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 Oktober 2010

TANAH MENDAP ANCAM PENDUDUK

TAMAN SEROM UTAMA – Kejadian tanah mendap di jalan tanah merah yang menjadi laluan utama para pekebun kecil berhampiran mencetus kebimbangan mereka malah ia turut membahayakan keselamatan penduduk di sini.

Pengerusi Persatuan Belia Wu Seng Kong, Teo Tai Wee berkata, kejadian itu hanya disedari berlaku di kawasan berkenaan sejak sebulan lalu ketika melalui jalan berkenaan untuk ke kawasan berhampiran.

“Tanah mendap ini mewujudkan sebuah lubang besar yang mempunyai kedalaman lebih dua meter kaki yang terbentuk daripada aliran deras air hujan untuk disalurkan ke parit besar Serom bersebelahannya.

“Lubang besar ini juga menampakkan kedua-dua paip pembetung parit yang menghubungkan aliran air parit kecil dari taman perumahan berhampiran ke parit besar Serom,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, lubang besar pada laluan itu dikhuatiri tidak selamat digunakan pekebun dan pelajar sekolah berdekatan yang sering melalui jalan berkenaan untuk ke sekolah bagi mengelakkan kesesakan di jalan utama.

“Bagi mengelakkan berlakunya sebarang kemalangan atau kejadian yang tidak diingini, tindakan serta merta perlu dilakukan Majlis Daerah Tangkak (MDT) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menimbus kembali lubang besar ini.

“Hal ini bagi mengelak pengguna laluan ini supaya tidak tergelincir masuk ke dalam yang boleh menjejaskan keselamatan mereka khususnya kanak-kanak yang bermain di kawasan ini yang tidak peka dengan kewujudan lubang besar ini,” katanya.

Menurut Pembantu Hal Ehwal Pengguna Bahagian Parlimen Ledang, Chia Hin Chai berkata, sebahagian jambatan parit besar besar Serom tidak berpagar turut mendatangkan masalah kepada pelajar dan penduduk yang menggunakannya untuk ke kawasan berdekatan.

“Jambatan ini sering digunakan pelajar untuk ke sekolah berdekatan dan keadaan sebahagian pagar jambatan yang uzur bakal mengundang bahaya kepada mereka yang mungkin akan terjatuh ke parit besar Serom ini.

“Pagar jambatan yang berkarat perlu digantikan dengan pagar baru bagi memastikan keselamatan pengguna jambatan ini terjamin malah pada masa yang sama dapat memberikan keselesaan kepada masyarakat di sini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 14 OKTOBER 2010

Tiada ulasan: