TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

07 Januari 2011

BIMBING HORMAT IBU BAPA, SOLAT SEMPURNA


LEDANG: Selain mendapat kenalan baru, peserta yang menyertai Kem Motivasi Anak Soleh di Tangkak di sini, baru-baru ini, diajar kaedah menghormati ibu bapa dan bimbingan berkaitan solat yang sempurna.

Peserta, Muhammad Khairul Hafizy Roslan, berkata sebelum mengikuti kem berkenaan dia tidak menjaga solat dan ada kalanya terlalai.

"Bagaimanapun, selepas menyertai kem motivasi ini, saya berazam untuk menjaga solat lima waktu selain patuh kepada ibu bapa.

"Saya juga akan lebih kerap membaca al-Quran kerana terlalu banyak kebaikan yang bakal diperoleh untuk bekalan di akhirat," katanya yang berasal dari Masjid Tanah, Melaka.

Hafizy antara 60 peserta berusia 9 hingga 15 tahun yang menyertai kem motivasi berkenaan selama tiga minggu sempena cuti sekolah.

Kem motivasi yang bertemakan Ke Arah Pembentukan Akhlak al-Quran itu disertai pelajar sekolah rendah dan menengah dari Muar, Batu Pahat, Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Melaka.

Pengarah kem, Kasma Mohd Said, berkata objektif program itu untuk membentuk peribadi Muslim sejati dengan menyemaikan sifat mulia ke dalam jiwa setiap peserta di samping memupuk kesedaran terhadap kepentingan al-Quran.

"Tiga modul diperkenalkan sepanjang program iaitu Apakah Makna Islam, Kenali Allah dengan Asmaul Husna dan Gagal Mujahadah Tergadai Maruah yang berkaitan dosa besar.

"Sepanjang tiga minggu, peserta turut menyertai pertandingan tahfiz al-Quran dan hadis, sukaneka, ceramah serta kursus solat selain pembentangan modul oleh peserta sendiri dalam setiap bengkel," katanya.

Menurut Kasma, peserta dibimbing untuk melakukan solat tahajud setiap malam supaya diberi hidayah daripada Allah dan dibuka pintu hati mereka bagi mengikuti program berkenaan.

Sementara itu, penasihat kem, Mohd Arifi Mat Husin, berkata program berkenaan diharap dapat melahirkan individu yang sentiasa mentaati perintah Allah swt dan ibu bapa.

"Pembentukan anak soleh bukan perkara mudah, malah ia perlu melalui proses bimbingan yang berterusan dalam bidang keagamaan dan kerohanian.

"Selain itu, berdasarkan maklum balas ibu bapa, kami akan menganjurkan kem motivasi ini pada setiap cuti persekolahan," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 7 JANUARI 2011

Tiada ulasan: