TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

14 Januari 2011

KES PELAJAR DIHEMPAP POKOK TAK JEJAS KEHADIRAN PELAWAT

LEDANG: Kawasan perkelahan Gunung Ledang, terus menjadi tarikan pengunjung biarpun dikejutkan dengan kejadian dua pelajar Universiti Teknikal Melaka (UTeM) dihempap pokok ketika mandi-manda di kawasan itu, baru-baru ini.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Mohd Syazwan Zainal Abidin, 21, berkata dia tidak risau untuk menjadikan Gunung Ledang sebagai destinasi pilihan bersantai pada cuti hujung minggu.

Malah, dia sanggup mengharungi perjalanan sejauh 100 kilometer semata-mata untuk bersantai di kawasan perkelahan itu.

"Saya membaca laporan akhbar Harian Metro baru-baru ini mengenai pelajar ditimpa pokok, namun semua itu tidak langsung merisaukan saya dan rakan-rakan kerana ia membabitkan kes terpencil dan jarang sekali berlaku.

"Kejadian itu juga membabitkan faktor alam semula jadi yang sukar dijangka, jadi kami perlu sentiasa beringat dan berhati-hati selepas ini, bukannya langsung tidak ke mari," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Kakitangan swasta, Salmah Hamid, 36, berpendapat pihak pengurusan perlu sentiasa memantau keadaan sekitar terutama pokok besar yang sudah reput serta membahayakan keadaan pengunjung.

"Saya cadangkan pokok seperti itu ditebang atau dicantas dahannya bagi memastikan peristiwa dihempap pokok tidak berulang lagi pada masa akan datang," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua pelajar Universiti Teknikal Melaka (UTeM) cedera apabila mereka dihempap pokok ketika mandi-manda di kawasan perkelahan berkenaan.

Dua mangsa terbabit ialah Salman Al Farisi Ahmad Sabri dan Muhamad Hafizudin Abdullah masing-masing berusia 21 tahun, cedera di badan termasuk seorang patah tulang rusuk.

Tiupan angin kencang dikatakan menjadi punca sebenar pokok berusia ratusan tahun itu tumbang. Kedua-dua mereka diberikan rawatan di hospital berhampiran dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gunung Ledang Resort (GLR), Tey Chee Yan (gambar) ketika ditemui berkata, pihaknya sentiasa memastikan keselamatan orang ramai yang berkunjung di sekitar pusat peranginan berkenaan.

"Orang ramai tidak perlu takut untuk berkunjung ke sini kerana GLR menugaskan renjer terlatih untuk memantau keadaan sekitar.

"Selain itu juga, papan tanda amaran juga disediakan di tempat yang merbahaya untuk memberi amaran kepada orang ramai," katanya di sini.

Menurutnya, selain menugaskan renjer bagi langkah keselamatan, orang ramai juga perlu memberi kerjasama yang baik jika berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

Selain itu juga, Tey berharap pengunjung lebih berhati-hati ketika berkunjung ke pusat peranginan itu lebih-lebih lagi pada cuaca buruk atau musim hujan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku selepas ini.

SUMBER: HARIAN METRO, 14 JANUARI 2011

Tiada ulasan: