PENGUNJUNG SETIA

27 Januari 2011

NYARIS MAUT LANGGAR POKOK

LEDANG – Gara-gara keletihan, peniaga nyaris maut apabila kereta Proton Saga yang dipandunya terlanggar sebatang pokok di Parit Zink, Bukit Gambir, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.11 petang, mangsa Khairul Nizam Hashim, 33, bersama isteri Siti Liana Misdir, 29, serta anaknya, Alia Farhana, 2, dalam perjalanan dari Bukit Gambir ke Serom 8.

Saksi kejadian, Mohd Ali Taman, 45, berkata, sebelum kejadian dia berada di belakang kenderaan yang dipandu oleh mangsa.

Menurutnya, setibanya di Parit Zink kereta mangsa beralih ke lorong kiri jalan dan beliau menyangka mangsa memberi laluan kepadanya untuk memotong.

“Belum sempat saya memotong secara tiba-tiba kenderaan mangsa telah melanggar sebatang pokok di tepi jalan ini sebelum termasuk ke dalam parit berhampiran.

“Saya memberhentikan kenderaan dan cuba menyelamatkan mangsa tetapi terkejut apabila ternampak seorang kanak-kanak menangis di bahagian belakang kereta.

“Tanpa rasa takut saya segera memasuki parit untuk menyelamatkan kanak-kanak tersebut yang dalam ketakutan selepas insiden ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, satu jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ledang bersama-sama enam anggota bomba berjaya menyelamatkan kedua-dua mangsa yang tersepit di bahagian hadapan kenderaan.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 27 JANUARI 2011

Tiada ulasan: