PENGUNJUNG SETIA

05 Januari 2011

DUA PELAJAR UTeM PARAH DITIMPA POKOK TUMBANG


LEDANG: Keseronokan 14 pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berkelah Gunung Ledang petang semalam, bertukar malang apabila pokok sebesar pemeluk, tumbang menimpa mereka yang sedang berehat di sekitarnya, menyebabkan dua cedera termasuk seorang parah.

Kejadian berlaku di kawasan Kolam Puteri Gunung Ledang kira-kira 2 petang, ketika kumpulan pelajar terbabit sedang berkelah sambil mandi manda di aliran air terjun kawasan tarikan pelancongan itu.

Secara tiba-tiba, pokok terbabit patah dan menimpa dua mangsa iaitu Salman Alfarisi Ahmad Sabri, 22, yang cedera parah apabila patah tulang rusuk, manakala rakannya, Hafizudin Abdullah, 21, cedera ringan.

Dua pelajar terbabit dikejarkan ke Hospital Tangkak, sebelum Salman Alfarisi yang berasal dari Felda Hutan perca, Alor Gajah, Melaka, dirujuk ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, untuk rawatan lanjut, manakala Hafizudin yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan, hanya menerima rawatan pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata kejadian berlaku ketika 14 sahabat itu berkelah di kawasan yang terletak pada ketinggian 270 meter di kawasan Air Terjun Gunung Ledang itu.

"Ketika sebahagian daripada mereka sedang mandi, secara tiba-tiba pokok yang terletak di tepi air terjun terbabit patah sebelum menimpa dua mangsa terbabit.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat Tangkak dengan bantuan renjer Gunung Ledang Resort (GLR) bergegas ke tempat kejadian bagi membantu membawa mangsa turun sebelum dihantar mendapat rawatan kecemasan di Hospital Tangkak," katanya.

Sementara itu, Hafizudin berkata, angin kencang tiba-tiba bertiup di kawasan mereka berkelah dan kemudiannya dikejutkan dengan bunyi kiutan pokok yang agak kuat namun tiada apa-apa yang berlaku.

"Beberapa saat kemudian barulah saya sedar sebatang pokok tua tumbang ke arah kami, menyebabkan saya dan Salman tidak sempat mengelak," katanya ketika di temui di Hospital Tangkak di sini, petang semalam.

SUMBER: BERITA HARIAN, 5 JANUARI 2010

Tiada ulasan: