PENGUNJUNG SETIA

24 Januari 2011

GURU CEMERLANG

LEDANG - Pilu, terharu dan gembira. Itulah gambaran perasaan yang dirasai bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Kasan, Munah Abd Majid, 58, apabila dirai sempena majlis persaraannya, baru-baru ini.

Kira-kira 1,000 warga sekolah berhimpun meraikan persaraan beliau dalam majlis yang turut dihadiri Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Muar, Azmi Abd Rahman.

Anak jati Kampung Gelang Chincin, Segamat ini memulakan profesion keguruan selepas tamat menjalani latihan per- guruan di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dalam bidang peng- khususan Bahasa Inggeris dan Geografi.

Ibu tiga cahaya mata ini memulakan tugas di Sekolah Menengah Jementah pada 1 Januari 1978 selama 12 tahun hingga 1 Disember 1990.

Kemudian beliau bertukar ke Sekolah Kebangsaan Jementah, Segamat pada 2 Disember 1990 hingga 31 Oktober 1999.

Di atas perkhid- matan yang cemerlang, beliau dilantik menjadi Guru Penolong Kanan (Kokurikulum) di SK LKTP Pemanis 2, Segamat mulai 1 November 1999 hingga 15 Ogos 2001.

Tidak terhenti di situ sahaja, beliau kemudiannya berpindah ke SK Gemereh sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) pada 16 Ogos 2001 selama dua tahun. Di sini, beliau banyak mendalami ilmu pengurusan sekolah.

Karier beliau sebagai Guru Besar bermula di SK Ladang Welch, Jementah pada 16 Julai 2003 selama empat tahun dan berpindah ke SK Gembut, Kota Tinggi sebagai Guru Besar selama dua tahun.

Pada 16 Julai 2008, beliau telah menjadi Guru Besar di SK Parit Kasan, Bukit Gambir, Ledang sehinggalah bersara wajib pada 12 Januari 2011.

Munah berkata, meskipun bersara wajib tetapi beliau berasa sedih kerana terpaksa meninggalkan bidang pendidikan yang dicintainya sejak 33 tahun.

Menurutnya, bidang pendidikan adalah bidang yang sangat mencabar kerana memegang tanggungjawab dan amanah yang besar dalam mendidik anak bangsa.

“Apa yang lebih berat adalah untuk mendidik murid menjadi manusia yang berguna kepada bangsa dan negara.

“SK Parit Kasan adalah institusi pendidikan yang sedia menerima semua murid dari tahun satu hingga tahun enam,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, meskipun SK Parit Kasan bukan sekolah pilihan tetapi sekolah berkenaan sudah mampu melahirkan murid- murid cemerlang.

“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan warga sekolah dalam meraikan persaraan ini,” katanya.

Munah berkata, walaupun hanya dua tahun berkhidmat di sekolah berkenaan, namun beliau berbangga kerana dapat membantu meningkatkan kecemerlangan di sekolah itu.

“Saya berasa berat hati mahu meninggalkan anak murid dan warga sekolah kerana semangat ingin menabur bakti mendidik anak bangsa masih tebal di hati ini, namun atas faktor usia menjadikan saya rela melepaskan jawatan ini.

“Nasihat kepada semua guru agar sentiasa menambah ilmu pengetahuan kerana bidang pendidikan pada hari ini sering berubah dan memerlukan kesabaran serta daya usaha tinggi dalam mendidik anak bangsa mencapai kecemerlangan.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Parit Kasan, Padil Md Amin berkata, persaraan beliau adalah satu kehilangan besar di sekolah berkenaan.

Menurutnya, sepanjang berkhidmat di SKPK beliau aktif dan sentiasa mendapat kerjasama daripada warga sekolah dan masyarakat kampung.

“Sifat beliau yang tenang dan sabar menjadikan beliau seorang yang mudah didekati.

“Beliau mempunyai matlamat yang tinggi dalam meningkatkan kecemerlangan sekolah tercapai melalui beberapa pendekatan yang diperkenalkannya,” katanya.

Selain itu, beliau juga seperti bapa kepada murid-murid di sini kerana sering menasihati mereka supaya belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan dalam pelajaran dan juga peperiksaan serta menjadi insan berguna pada masa depan.

SUMBER: SINAR HARIAN JOHOR, 24 JANUARI 2011

Tiada ulasan: