PENGUNJUNG SETIA

07 Januari 2011

CUNGKIL BAKAT PEMAIN BOLA SAWAH RING

ZAIDI sedang bersalaman dengan ahli pasukan yang menyertai Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah Tertutup di padang Sekolah Kebangsaan Sawah Ring. FOTO: HAI ROZZAMAN JALAL

LEDANG: KEJOHANAN Bola sepak 7 Sebelah Tertutup Kampung Sawah Ring di sini, baru-baru ini, diadakan bagi mencungkil bakat baru sukan berkenaan.

Ia dianjurkan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sawah Ring, Pergerakan Pemuda Umno Cawangan Kampung Sawah Ring, Kampung Baru dan Kampung Gaung Kepar.

Objektif lain kejohanan adalah untuk membentuk skuad bola sepak Sawah Ring sebagai persediaan menyertai pertandingan pada masa akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Ab Majid, berkata melalui sukan, ia dapat menanamkan sikap persaingan secara sihat tanpa ada sekatan atau batasan yang boleh menimbulkan perasaan irihati juga dendam.

“Semangat kerjasama dapat dipupuk di kalangan belia di mana dengan adanya semangat kerja berpasukan, matlamat yang diimpikan boleh dicapai.

“Semangat kesukanan yang dibentuk melalui pertandingan bola sepak ini boleh diterjemahkan ke dalam kepemimpinan dalam masyarakat dengan kerjasama erat setiap individu,” katanya ketika merasmikan kejohanan itu di padang Sekolah Kebangsaan Sawah Ring.

Hadir sama Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Mohd Musa Kathiran; Pengerusi JKKK Sawah Ring, Hussin Mohamed dan Setiausahanya, Wira Pairan.

Dalam kejohanan itu, Alam FC muncul johan selepas menewaskan Kick FC dan masing-masing membawa pulang hadiah berupa piala dan wang tunai RM200 serta RM150.

Pasukan Belia Sawah Ring FC mendapat tempat ketiga dengan hadiah piala dan wang tunai RM100, manakala Zairul Zainal dinobatkan pemain terbaik, Mohd Zaim Zaqwan Yusof (penjaring terbanyak) dan Mohd Firdaus Nordin memegang gelaran pemain harapan.

SUMBER: HARIAN METRO, 7 JANUARI 2011

Tiada ulasan: