PENGUNJUNG SETIA

15 Januari 2011

URUSAN BANK PEJABAT POS


Oleh Mahaizura Abd Malik

PONTIAN: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) kini menawarkan Kaunter Perkhidmatan Perbankan Perkongsian bagi kemudahan urusan kewangan terutama kepada penduduk di pedalaman.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Syed Faisal Albar berkata, bagi tujuan itu pihaknya kini menjalinkan kerjasama dengan Malayan Banking Berhad (Maybank).

Menurutnya, pelancaran kemudahan itu dijalankan berperingkat hingga penghujung Jun depan.

"Benut pejabat pos pertama menyediakan perkhidmatan membabitkan lima kemudahan lengkap perbankan termasuk kaunter pembukaan akaun, pindahan wang dan pembayaran semula pinjaman.

"Pada masa sama, 475 cawangan Pos Malaysia terpilih akan mengendalikan transaksi perbankan ini yang akan beroperasi di seluruh negara tidak lama lagi.

"Perkhidmatan ini selaras dengan usaha kedua-dua pihak menawarkan pelbagai produk, perkhidmatan serta kemudahan dan keselesaan di bawah satu bumbung," katanya sambil menjelaskan sebelum ini hanya mesin juruwang automatik (ATM) disediakan di pejabat pos di seluruh negara.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kemudahan Perbankan Perkongsian antara Pos Malaysia dengan Maybank di Pejabat Pos Benut, di sini, semalam.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan.

Abdul Wahid berkata, pelaksanaan perkhidmatan itu dilakukan secara berperingkat. Sebagai permulaan, Pos Malaysia menyediakan kemudahan bagi pelanggan Maybank berurus niaga termasuk deposit tunai, pengeluaran dan pembayaran semula pinjaman di pejabat pos terpilih.

"Sebagai permulaan, 10 cawangan Pos Malaysia di Semenanjung iaitu Benut, Bukit Gambir dan Parit Sulong di Johor serta Maran, Bandar Pusat Jengka dan Air Tawar di Pahang.

"Dua di Negeri Sembilan iaitu di Taman Tuanku Jaafar dan Rembau serta masing-masing satu di Sungai Besar, Selangor dan Bangsar, Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, ATM disediakan di cawangan terbabit bagi kemudahan orang ramai melakukan urus niaga di luar waktu operasi bank.

"Menjelang penghujung Jun, semua cawangan terpilih di seluruh negara turut menawarkan perkhidmatan kiriman wang dan pembukaan akaun simpanan dan semasa," katanya.

SUMBER: HARIAN METRO, 15 JANUARI 2011

Tiada ulasan: