TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

05 Oktober 2011

ALMARI PENGERING PAKAIAN


SEKUMPULAN pelatih ILP Ledang bersama ciptaan mereka iaitu Almari Pengering Pakaian yang dipamerkan di ADTEC Batu Pahat, baru-baru ini.


BATU PAHAT 4 Okt. – Faktor ketiadaan ruang menyidai pakaian yang baharu dibasuh, terutamanya di flat dan kekerapan hujan memberi ilham kepada sekumpulan anak muda untuk mengatasi masalah itu menerusi ciptaan mereka yang dinamakan Almari Pengering Pakaian.

Ciptaan pelatih Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang dekat sini itu, turut menjadi penyelesaian kepada masalah ‘pencemaran pemandangan’ iaitu pakaian basahan bergantungan yang sering ‘mewarnai’ bangunan flat khususnya di ibu kota.

Menerusi ciptaan itu, pengguna hanya perlu menyidai pakaian dalam almari yang dilengkapi alat pemanas, alat kawalan masa serta suhu, kipas pengering dan ruang pengudaraan.

Inovasi tersebut dihasilkan tiga pelatih iaitu Mohd. Taufik Ali, 27; Siti Fazlin Nur Ali, 19; dan Mohd. Hairudin Baharuddin, 19, dengan kos hanya RM400 dan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan.

Mohd. Taufik memberitahu, fokus utama rekaan itu untuk memenuhi keperluan pengguna yang lebih mesra, jimat kos, serta mesra alam selain menjimatkan masa.

“Pengguna hanya perlu menyidai pakaian dalam almari dan tetapkan suhu serta masa yang dikehendaki.

“Pada masa ini 20 helai pakaian boleh dikeringkan pada satu-satu masa dengan menggunakan almari pengering ini,” katanya.

Beliau ditemui pada Pertandingan Kreativiti, Inovasi dan Laman Web anjuran Jabatan Tenaga Manusia di ADTEC Batu Pahat, baru-baru ini.

Mohd. Taufik berkata, pasukannya berharap rekaan itu dapat dikomersialkan dan memberi faedah kepada banyak pihak, termasuk industri pelancongan negara.

“Tentu tak elok apabila pelancong melihat pakaian disidai di bangunan flat. Kami berharap agar ciptaan ini dapat dipasarkan dengan kos mampu milik," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 05 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: