TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

09 Oktober 2011

CIPTA ALMARI PENGERING PAKAIAN

BATU PAHAT - Faktor ketiadaan ruang menyidai pakaian terutamanya di rumah flat dan kekerapan hujan di negara ini, memberi ilham kepada sekumpulan anak muda untuk mengatasi permasalahan itu menerusi ciptaan mereka iaitu Almari Pengering Pakaian.

Ciptaan pelajar-pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ledang itu, mungkin dapat menjadi penyelesaian kepada masalah pencemaran pemandangan iaitu melihat pakaian basahan mewarnai rumah-rumah flat khususnya di ibu kota.

Ketua Projek berkenaan, Mohd. Taufik Ali, 27, berkata, menerusi ciptaan itu, pengguna hanya perlu menyidai pakaian di dalam almari yang dilengkapi alat pemanas, alat kawalan masa serta suhu, kipas pengering dan ruang pengudaraan.

Katanya, ciptaan tersebut turut dihasilkan bersama dua lagi rakannya iaitu Siti Fazlin Nur Ali, 19, dan Mohd. Hairudin Baharuddin, 19, dengan kos hanya RM400 dan mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan.

“Fokus utama dalam reka cipta itu adalah untuk memenuhi keperluan mesra pengguna, kos, serta alam dan menjimatkan masa selain sebagai cadangan mengatasi masalah yang mencacatkan pandangan ini.

“Pengguna hanya perlu menyidaikan pakaian dalam almari dan tetapkan suhu dan masa yang dikehendaki setelah membasuhnya tanpa memikirkan ruang ampaian serta masalah terkena hujan.

“Buat masa ini, sebanyak 20 pakaian boleh dikeringkan dalam satu-satu masa dengan menggunakan almari pengering pakaian ini,” katanya ketika ditemui pada Pertandingan Kreativiti, Inovasi dan Laman Web anjuran Jabatan Tenaga Manusia di Adtec Batu Pahat, baru-baru ini.

Mohd Taufik berkata, dia dan rakan-rakan berharap agar reka cipta yang dihasilkan dapat dikomersialkan dan memberi faedah kepada semua pihak termasuk industri pelancongan negara.

“Dengan penghasilan produk berkenaan, ia juga bakal mengatasi masalah pakaian yang selalu hilang di kalangan pengguna apabila mereka menyidainya di tempat awam terutamanya kepada penduduk rumah flat.

“Begitu juga dengan mereka yang seharian bekerja yang mana pakaian mereka adakalanya terkena hujan akibat cuaca yang tidak menentu selain ia juga amat berguna jika waktu musim hujan.

“Selain penduduk di rumah flat, semua orang boleh menggunakan alat ini, terutamanya bagi mereka yang sibuk bekerja dan masa untuk menyidai serta mengangkat pakaian terhad dan mereka boleh menyidainya dalam almari ini,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 09 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: