PENGUNJUNG SETIA

16 Oktober 2011

TERUS TABUR BAKTI MELALUI IDEA



160 pejuang veteran kemerdekaan terima penghargaan

LEDANG - Pejuang veteran kemerdekaan yang mempertahankan kemerdekaan sebelum dan selepas kemerdekaan negara wajar terus menaburkan bakti dengan menyumbangkan jasa mereka melalui idea dan bimbingan.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri berkata, pejuang daripada pelbagai bangsa masih mempunyai peranan ke arah menanamkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, pejuang veteran kemerdekaan telah melalui pengalaman yang memeritkan ketika sebelum mencapai kemerdekaan semasa berjuang melawan pemberontak komunis selama beberapa tahun.

“Kumpulan veteran ini termasuk Melayu, Cina dan India telah bersama berkhidmat mempertahankan negara daripada pemberontak komunis.

:“Mereka menyertai pasukan polis, pengawal kampung yang kemudiannya menjadi Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) dan tentera mempertahankan negara,” katanya ketika berucap sebelum menyampaikan anugerah kepada 160 pejuang veteran kemerdekaan di Dewan Jubli Intan, semalam.

Hamim berkata, bagi mereka yang tidak dapat menyertai pasukan polis bolehlah menyertai pasukan polis bantuan.

:“Pada ketika itu, Pengawal Kampung berperanan menjaga keselamatan negara dan bagi melindungi rakyat daripada pemberontak komunis.

“Ramai pejuang veteran yang masih hidup dan mahu mereka menyumbang keperluan keselamatan negara menanamkan semangat patriotisme,” katanya.

“Saya menggesa orang ramai agar mengetahui, menghargai dan memahami nilai sumbangan serta pengorbanan pejuang veteran dengan memberi pengiktirafan,” katanya.

:Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah mengumumkan bayaran khas sebanyak RM 3,000 kepada setiap pejuang dan keluarga mereka bagi menghargai jasa mereka kepada negara.

“Pada hari ini (semalam), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) memutuskan untuk memberikan anugerah kepada pejuang veteran kemerdekaan negara,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 16 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: