TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

05 Oktober 2011

FACEBOOK JADI MEDAN BERTEMU

LEDANG – Kecanggihan teknologi menjadi batu loncatan kepada 60 bekas pelajar Melayu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Pei Hwa, Sungai Mati sesi 2001-2005 untuk mengadakan pertemuan bersama.

Pengerusinya Persatuan Alumni, Azfar Idrus berkata, pertemuan tersebut untuk memastikan kemesraan yang terjalin ketika belajar tidak pudar begitu sahaja.

Menurutnya, beliau juga ingin berkongsi kegembiraan kerana ramai di antara rakannya berjaya melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Kami juga mahu menyatukan kembali semua pelajar Melayu yang pernah belajar di sekolah itu yang terpisah selepas tamat persekolahan.

“Kami mengharapkan kesibukan dalam melanjutkan pengajian tidak menjadi penghalang untuk mengeratkan ukhuwah antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, laman sosial Facebook boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengetahui perkembangan terkini setiap bekas pelajar.

“Lebih mengejutkan ada di antara mereka tidak menyedari belajar dalam IPTA yang sama dan hanya mengetahuinya melalui Facebook.

“Penubuhan persatuan ini dijangka mampu menjejak lebih ramai bekas pelajar supaya memori bersama ketika alam persekolahan berkekalan,” katanya.

Dalam pada itu, Azfar turut melahirkan keterujaannya apabila tiga guru yang pernah mengajarnya turut serta dalam pertemuan tersebut.

“Antaranya, Sariah Lawani (kini menjadi tenaga pengajar Kolej Matrikulasi Johor); Latif Tukiran (guru SMK Tun Dr Ismail, Bakri) dan Saifulbahri Mohamad yang masih kekal di sekolah berkenaan,” katanya.

Katanya lagi, program itu menjadi medan pertemuan bekas pelajar yang membawa haluan masing-masing sebaik saja tamat persekolahan lebih enam tahun lalu di samping menjana idea untuk perancangan pada masa depan.

Katanya, melalui penubuhan alumni itu diharap dapat menghimpunkan semula bekas pelajar yang menamatkan persekolahan tahun 2005 SMJK Pei Hwa yang berada di pelosok negara di mana sebahagiannya terputus hubungan.

“Idea untuk menubuhkan alumni itu tercetus dalam perjumpaan pertama beberapa rakan persekolahan yang menyarankan diadakan pertemuan semua bekas pelajar.

“Jawatankuasa alumni ini membuat beberapa perancangan dan aktiviti masa depan bagi memudahkan ahli menyertai setiap program yang diadakan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 05 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: