PENGUNJUNG SETIA

06 Oktober 2011

HAMIM TAJA UTUSAN MALAYSIA UNTUK 10 SEKOLAH


HAMIM Samuri (tengah) bersama wakil daripada sekolah-sekolah pada Majlis Penyerahan Tajaan Akhbar Utusan Malaysia dan Sisipan ADaP bagi kawasan Parlimen Ledang di SMK Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati, Ledang, baru-baru ini.


LEDANG 5 Okt. - Sepuluh buah sekolah menengah dalam Parlimen Ledang menerima tajaan 6,000 naskhah Utusan Malaysia beserta sisipan Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) sumbangan wakil rakyatnya, Hamim Samuri bagi membantu persediaan pelajar tingkatan lima menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Tajaan bernilai RM7,200 itu disampaikan Hamim kepada Penolong Pengurus Pemasaran Zon Selatan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Tengku Izaham Tengku Adnan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud Iskandar, Sungai Mati di sini, baru-baru ini.

Tajaan akhbar bagi tempoh sebulan itu bukan sahaja dapat menjadi bahan bacaan umum kepada pelajar, malah mereka dapat memanfaatkan Siri Soalan Percubaan Peperiksaan SPM 2011 yang turut disiarkan dalam sisipan ADaP.

Hamim menasihati para pelajar tingkatan lima untuk meningkatkan usaha bagi menghadapi SPM dengan memperbanyakkan ulang kaji.

"Dalam tempoh tidak sampai sebulan lagi, saya harap pelajar menggunakan Siri Soalan Percubaan SPM dalam sisipan ADaP sebagai alat bantu untuk mengulang kaji pelajaran semoga lulus dengan cemerlang," katanya.

Beliau mahu melihat lebih ramai pelajar cemerlang dilahirkan di kawasan Parlimen Ledang dan seterusnya menjadi modal insan berkualiti untuk memajukan lagi daerah dan negara ini.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya juga telah menyediakan wang sagu hati untuk dihadiahkan kepada pelajar yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM," katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Tengku Mahmud Iskandar, Sapian Ismail serta wakil Pegawai Pelajaran Daerah Muar/Ledang, Basiron Kudari.

Selain SMK Tengku Mahmud Iskandar, sekolah yang turut mendapat tajaan itu adalah SMK Persisiran Perdana, SMK Parit Bunga, SMK Pei Hwa, SMK Bukit Gambir, SMK Sagil, SMK Tun Mamat, SMK Ledang, SMK Seri Tangkak dan SMA Loghatul Quran Kesang Tasek.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 06 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: