PENGUNJUNG SETIA

27 Oktober 2011

RISDA AJAR TEKNIK PEMBAJAAN YANG BETUL

Ditulis oleh Sofiayana Ellmy Sukor

LEDANG : Seramai 101 pegawai Risda akan ditempatkan di seluruh Johor bagi membantu 23,817 pekebun kecil di negeri ini mengamalkan sistem amalan pertanian baik terhadap kebun yang diusahakan.

Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman, berkata, pegawai-pegawai itu bukan sahaja akan memberikan maklumat berkenaan sistem ini, malahan akan turut mengajar pekebun kecil mengenai teknik pembajaan yang betul.

Katanya, teknik pembajaan yang betul akan meningkatkan produktiviti di samping menghasilkan susu getah yang berkualiti.

"Pegawai-pegawai yang dipilih ini akan membantu pekebun-pekebun kecil memahami dengan lebih mendalam mengenai sistem amalan pertanian baik serta faedah yang akan dinikmati oleh mereka.

"Selain itu, pekebun kecil juga akan diajar cara membaja dengan kaedah yang betul supaya produk tanaman mereka berkualiti dan mendapat permintaan yang tinggi," katanya.

Jelas Abdul Ghani, dengan mengamalkan sistem itu, ia akan membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui peningkatan hasil keluaran hingga 20 peratus lebih tinggi.

Abdul Ghani berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Gerakan Membaja Peringkat Risda Negeri Johor 2011 di Dewan UNMO Kampung Sagil, Parit 3, di sini, hari ini.

Selain mengamalkan sistem amalan pertanian baik, pekebun kecil turut digesa supaya mengamalkan tanaman secara integrasi ketika kerja tanam semula sedang dijalankan.

Katanya, selain menanam tanaman kontan di kebun yang sedang ditanam semula, pekebun kecil juga boleh memelihara ternakan ayam kampung dalam masa dua atau tiga tahun pertama.

"Permintaan terhadap ayam kampung masa kini kian meningkat, terutamanya daripada restoran-restoran. Peluang ini perlu dimanfaatkan oleh pekebun kecil sebagai satu cara meningkatkan pendapatan mereka,"katanya.

SUMBER: MEDKOM JOHOR, 27 OKTOBER 2011

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saktiviti macamni patut selalu di buat dan melibatkan semua orang kampung yg ada kebun sawit. tahniah risda. jangan serik, buat dan terus buat sampai semuqa pekebun sawit dan getah jadi pekebun yang betul faham dan produktif. dapat pahala tolong orang ni...