PENGUNJUNG SETIA

01 Oktober 2011

SUSPEK LELAKI DITAHAN LIMA KES PECAH RUMAH SELESAI

LEDANG 30 Sept. - Polis percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah di kawasan ini berikutan penangkapan seorang suspek di Taman Bestari, Sungai Mati pada 21 September lalu yang diberkas semasa melakukan jenayah tersebut.

Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, suspek lelaki itu ditahan pada pukul 12.15 tengah malam dan pemeriksaan mendapati dia bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang.

"Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditahan dan beberapa peralatan pecah rumah termasuk gunting, pisau lipat dan lampu suluh turut dirampas.

"Siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah di bawah kesalahan Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan kami percaya sebanyak lima kes pecah rumah dapat diselesaikan dengan penangkapannya," katanya selepas majlis pemakaian pangkat anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang di Tangkak, semalam.

Pada majlis itu, dua anggota dinaikkan pangkat sarjan mejar kepada sub inspektor manakala 31 anggota pangkat rendah dinaikkan pangkat kepada koperal mengikut tempoh perkhidmatan.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki 21 tahun diberkas pada 23 September lalu kerana melakukan jenayah pecah rumah di Kampung Padang Lerek, Tangkak.

Katanya, suspek didapati positif dadah dan sebahagian daripada barang kemas bernilai RM9,000 yang dicurinya dijual di Melaka.

Selain itu, polis juga berjaya memberkas seorang penagih dadah pada 25 September lalu di sebuah rumah di Taman Cerah Indah, pekan Rawang yang cuba melarikan sebuah mesin basuh bernilai kira-kira RM800.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 01 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: