PENGUNJUNG SETIA

04 Oktober 2011

EMPAT SUSPEK MASIH DIBURU

LEDANG – Polis Ledang yakin akan dapat menahan empat suspek yang terbabit dalam satu kejadian rompakan sebuah kedai barang kemas di Tangkak pada 27 September, lalu.

Ketua Polis Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kesemua lelaki tersebut bertopeng dan dipercayai bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi ketika merompak kedai berkenaan, kini masih bebas.

Menurutnya, gerakan memburu suspek masih giat dijalankan sejak berlakunya insiden terbabit.

“Sekatan Jalan Raya (SJR) masih rancak diadakan di seluruh daerah Ledang termasuk meneruskan Ops Tertutup di beberapa lokasi.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengumpul maklumat supaya usaha menjejak suspek menjadi lebih mudah,” katanya kepada :Sinar Harian.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, polis juga hampir mengenal pasti identiti kesemua suspek dan dijangka akan memudahkan usaha menjejaki mereka.

Bagaimanapun, Harun turut menasihati pengusaha kedai emas supaya mementingkan ciri-ciri keselamatan di kedai mereka termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Pemasangan CCTV ini digalakkan di dalam dan di luar kawasan kedai, seharusnya ia berfungsi 360 darjah untuk memudahkan proses pengecaman suspek,” katanya.

Pada masa yang sama, peniaga-peniaga kedai barang kemas di sini juga digalakkan supaya menjalinkan hubungan erat dengan pihak polis agar maklumat dapat disalurkan dengan lebih tepat.

Terdahulu dalam kejadian tersebut, peniaga kedai terbabit terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM30,000 apabila empat dulang barang kemas di kedainya dilarikan oleh empat suspek dalam kejadian rompakan, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 pagi itu, tiga daripada empat suspek menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut.

Manakala seorang lagi suspek hanya menunggu dalam kereta jenis Proton Waja yang mereka naiki yang diletakkan berhampiran kedai emas itu.

Rompakan dilakukan dalam tempoh kira-kira lima minit sahaja sebelum suspek membawa lari barangan kemas menghala ke arah Bekok.

SUMBER: SINAR HARIAN, 04 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: