PENGUNJUNG SETIA

19 Oktober 2011

MONYET GIGIT KETIKA JOGING

Oleh Junita Mat Rasid

Wanita jadi mangsa bersebelahan padang golf Tanjung Ketapang

MUAR: Kejadian seorang wanita cedera digigit monyet ketika berjoging bersebelahan padang golf dekat Tanjung Ketapang di sini petang Jumaat lalu, menimbulkan kebimbangan mengenai jumlah hidupan liar terbabit yang semakin bertambah di kawasan rekreasi itu.

Malah, lebih menggerunkan apabila kejadian itu kes ketiga dalam tempoh beberapa hari, membabitkan pengunjung kawasan rekreasi itu digigit monyet.

Walaupun ketiga-tiga mangsa tidak cedera serius sehingga dimasukkan ke hospital, namun kejadian itu boleh menjejaskan keselamatan pengunjung terutama orang ramai yang beriadah dan kanak-kanak.

Tinjauan di sekitar kawasan hutan bakau Tanjung Ketapang mendapati jumlah monyet di kawasan rekreasi itu semakin banyak walaupun pihak berkuasa pernah memerangkap dan memindahkan haiwan itu ke Hutan Simpan Maokil akhir 2009 lalu.

Populasi yang semakin bertambah dengan tindakan orang ramai memberi makanan kepada hidupan liar itu juga mungkin menyebabkan monyet tidak takut dengan kehadiran manusia sehingga bertindak menyerang.

Kehadiran kumpulan monyet liar di kawasan rekreasi itu dikatakan menjadi antara tarikan pengunjung, malah haiwan itu juga dikatakan jinak dan banyak bergantung kepada orang ramai untuk menghulurkan makanan terutama roti serta makanan ringan.

Sebelum ini, ada sesetengah pihak yang kurang bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa memindahkan monyet itu dengan alasan ia menjadi tarikan orang ramai yang mahu melihat gelagat monyet dengan lebih dekat, namun tindakan memindahkannya dirasakan perlu berikutan jumlahnya yang banyak menyebabkannya tidak terkawal apabila kekurangan bekalan makanan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Jumaat lalu, Chua Chin Wee, 44, berjoging di Jalan Sultanah, bersebelahan padang golf apabila secara tiba-tiba seekor monyet menggigit kaki kanannya.

Saya memukul monyet itu berulang kali dengan telefon bimbit tetapi ia seolah-olah tidak menghiraukannya. Hanya selepas menyedari kehadiran orang ramai yang mahu menolong saya, barulah monyet itu melepaskan kaki saya sebelum melarikan diri," katanya.

Kesan kecederaan itu menyebabkan Chua terpaksa mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Jalan Arab sebelum dimaklumkan petugas klinik berkenaan ada seorang lagi mangsa kes digigit monyet di Tanjung Ketapang turut mendapatkan rawatan di klinik sama akibat kecederaan di kaki.

Selepas itu, seorang kanak-kanak berusia kira-kira empat tahun turut cedera di kaki akibat digigit monyet di tempat meletak kenderaan kawasan berkenaan kira-kira jam 7 pagi.

SUMBER: BERITA HARIAN, 19 OKTOBER 2011

Tiada ulasan: