TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

30 September 2011

TINDAKAN BERANI UNDANG PADAH

LEDANG – Tindakan berani seorang juruteknik kilang melakukan kegiatan pecah rumah akhirnya mengundang padah apabila dia ditangkap polis ketika sedang leka memecah masuk sebuah rumah di Sungai Mati, 21 September, lalu.

Dipercayai juruteknik tersebut menjadikan kegiatan itu sebagai pekerjaan sampingannya sejak beberapa bulan lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.50 pagi, suspek memilih rumah yang tidak berpenghuni sebagai sasaran untuk memecah masuk.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, beberapa anggota daripada Balai Polis Sungai Mati membuat intipan di rumah itu selepas menerima aduan orang awam melihat suspek dalam keadaan mencurigakan di rumah berkenaan.

Menurutnya, kepantasan pihak polis berjaya menangkap suspek meskipun pada mulanya suspek cuba melarikan diri tetapi gagal.

“Ketika tangkapan. polis turut merampas beberapa senjata yang digunakan untuk memecah masuk rumah mangsa seperti alat pemotong besi, wayar, lampu suluh dan pisau lipat.

“Ekoran tangkapan tersebut, polis berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di sekitar Sungai Mati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ledang, semalam.

Difahamkan, ketika kejadian pemilik rumah itu tiada di rumah kerana berada di luar kawasan dan rumah tersebut sebagai tempat persinggahan pada hujung minggu.

Harun berkata, hasil siasatan lanjut mendapati suspek berusia 37 tahun itu mempunyai jenayah rekod lampau mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

“Suspek ditahan reman sehingga hari ini dan jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 30 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: