PENGUNJUNG SETIA

13 September 2011

3,000 JAYAKAN HARI KEMERDEKAAN DI LEDANG


ABDUL Ghani Othman (tiga dari kanan) dan Dr. Jamilah Ariffin bersama orang ramai yang menyertai sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 Peringkat Daerah Ledang di Ledang, kelmarin.


LEDANG 12 Sept. - Sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 peringkat daerah Ledang berlangsung meriah dengan dihadiri lebih 3,000 orang yang memenuhi Dataran Ledang, Tangkak dekat sini semalam.

Sambutan dimulakan dengan perarakan oleh pelbagai jabatan kerajaan, swasta, badan beruniform serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Jalan Paya Emas serta diserikan dengan persembahan kebudayaan pelajar dari daerah ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. Turut hadir isterinya, Prof. Datin Paduka Dr. Jamilah Ariffin; Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri dan Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris.

Abdul Ghani dalam ucapannya mengingatkan masyarakat negeri ini supaya sentiasa memelihara kekuatan perpaduan serta mengenang jasa pemimpin terdahulu yang telah memperjuangkan kemerdekaan negara.

"Kemerdekaan negara dicapai tanpa pertumpahan darah tetapi liku-liku memperoleh kemerdekaan dan mempertahankannya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Banyak nyawa telah terkorban sejak jatuhnya kerajaan Kesultanan Melayu Melaka," katanya.

Menteri Besar berkata, kemakmuran yang diperoleh daripada kemerdekaan negara perlu diteruskan kerana ia akan memacu kemajuan dan pembangunan yang membawa limpahan kesejahteraan.

Beliau juga menggesa rakyat negeri ini tidak terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu yang cuba memecahbelahkan perpaduan masyarakat semata-mata untuk mendapatkan kuasa politik.

"Kemajuan yang dicapai hari ini adalah hasil persefahaman yang tinggi sehingga negara Malaysia yang berbilang kaum dapat menjadi aman dan stabil. Namun, semua kejayaan akan musnah sekiranya kestabilan ini diancam polarisasi bagi memecahkan perpaduan kaum," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 13 SEPTEMBER 2011

1 ulasan:

miyana berkata...

dah lama tak g ledang...selamat hari merdeka...selamat hari raya jugak...saya singgah sini terbaca pasal tempurung kelapa....