PENGUNJUNG SETIA

24 September 2011

PELAJAR AKTIF SUKAN DIIKTIRAF

LEDANG – Penglibatan aktif pelajar-pelajar dalam bidang kokurikulum semasa di bangku sekolah akan mendapat pengiktirafan apabila mereka melanjutkan pengajian di menara gading kelak.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, bidang kokurikulum mempunyai kekuatan yang mampu mengubah jati diri seseorang pelajar ke arah yang lebih positif.

Menurutnya, sebaik sahaja melanjutkan pengajian di universiti, mereka akan menjadi pelajar berketerampilan dalam usaha melahirkan modal insan yang progresif.

“Pada masa ini, mereka yang aktif dalam kokurikulum mempunyai peluang yang cerah untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

“Ini kerana sebanyak 10 peratus merit daripada kokurikulum akan diambil bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Hari Kualiti Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Ledang di sini, semalam.

Beliau berkata, markah bonus berkenaan diambil kira sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang pelajar dalam bidang kokurikulum dan kemasyarakatan yang diusahakan mereka.

Selain itu, katanya beliau mahu belia di Malaysia memiliki kecemerlangan yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.

“Kecemerlangan yang seimbang ini sangat diperlukan supaya mereka lebih menonjol berbanding individu yang lain.

“Sebelum ini, sering kita dengar anugerah hanya diberikan kepada mereka yang cemerlang dalam bidang akademik,” katanya.

Tetapi kini, sudah mengalami transformasi yang mana pelajar-pelajar yang cemerlang dalam kokurikulum turut diberikan pengiktirafan anugerah.

“Secara tidak langsung dapat memberikan suntikan semangat kepada pelajar-pelajar untuk lebih aktif menceburi bidang kokurikulum sejak di zaman persekolahan,” katanya.

Bagaimanapun, ada tanggapan yang mengatakan bahawa mereka yang cemerlang dalam kokurikulum, tidak cemerlang dalam akademik.

“Apa yang berlaku itu hanya sebilangan kecil sahaja yang kemungkinan mereka tertinggal dalam beberapa sukatan pelajaran,” katanya.

Walau bagaimanapun, tegasnya stigma tersebut perlu diperbetulkan kerana ramai tokoh sukan negara terdiri daripada latar belakang yang cemerlang dalam bidang akademik juga kokurikulum.

Justeru, kerajaan memandang serius perkara itu dengan mewajibkan setiap pelajar sekurang-kurangnya menyertai satu pasukan beruniform dan satu kegiatan sukan di sekolah masing-masing.

Difahamkan, SMK Ledang yang ditubuhkan pada 1963, bakal membina bangunan dewan tertutup baru apabila Abdul Ghani meluluskan peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk tujuan tersebut.

Hadir sama, Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri; Adun Tangkak, Goh Tee Tee; Adun Gambir, M Asojan; Pegawai Daerah Ledang, Ab Han Ramin dan Pengetua sekolah berkenaan, Mohd Ibrahim Adzrai.

SUMBER: SINAR HARIAN, 24 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: