TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

20 September 2011

TERPAKSA PUTIH MATA

LEDANG – Lima anggota geng pecah cermin kenderaan terpaksa berputih mata untuk berjoli hasil daripada kegiatan mereka apabila dicekup polis selepas enam jam selesai memecah cermin sebuah van di bandar Tangkak di sini, 15 September lalu.

Kesemua suspek yang berusia di antara 28 hingga 41 tahun ditangkap secara berasingan di bandar Tangkak selepas didapati terbabit dengan enam kes yang sama sepanjang tahun ini.

Suspek tidak bekerja dan menjadikan kegiatan memecah cermin kenderaan untuk mencuri sebagai pekerjaan utamanya.

Ketua Polis Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kegiatan mereka mula dihidu polis selepas menerima satu laporan mengenai kejadian terbaru pecah cermin sebuah van daripada mangsa yang turut kehilangan barangan komputer.

Menurutnya, ekoran daripada itu Jabatan Siasatan Jenayah melancarkan gerakan memburu suspek.

“Akhirnya pada 15 September lalu, polis berjaya mengesan kesemua suspek dan ditahan pada jam 4 petang iaitu enam jam selepas memecah cermin sebuah kenderaan.

“Penangkapan suspek antara kejayaan terpantas polis Ledang kerana berjaya memberkas suspek dalam tempoh enam jam selepas mencuri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Harun berkata, dengan penangkapan suspek, pihak polis berjaya menyelesaikan enam kes pecah cermin kenderaan sekitar bandar Tangkak sejak Januari lalu.

“Hasil tangkapan berjaya menemui semula beberapa barangan curi termasuk barang curi untuk lima kes yang lain.

“Antara barangan yang dirampas seperti 44 keping cakera padat, beg cakera padat dan pemain cakera padat,” katanya.

Menurutnya, kesemua barangan rampasan itu disembunyikan di rumah salah seorang suspek di bandar Tangkak.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 21 September depan dan pemeriksaan menyeluruh mendapati mereka penagih dadah dan positif dadah jenis heroin.

“Dipercayai kesemua barangan tersebut dicuri sebelum dijual untuk membeli keperluan dadah,” katanya.

Harun berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut untuk menjejaki kemungkinan ada saki baki kumpulan berkenaan.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau penyalahgunaan dadah dan mencuri motosikal.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.

SUMBER: SINAR HARIAN, 20 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: