PENGUNJUNG SETIA

16 September 2011

BANDAR UNIVERSITI PAGOH UBAH WAJAH UTARA JOHOR

PAGOH 15 Sept. - Kawasan utara Johor bakal berubah wajah dengan pembukaan Bandar Universiti Pagoh yang akan menjadi antara hab pendidikan sektor pengajian tinggi yang terunggul di negara ini menjelang 2015.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah mewujudkan hab pendidikan tersebut akan memajukan lagi sektor pengajian tinggi negara dalam usaha melahirkan modal insan berkualiti seterusnya menyumbang kepada pembangunan lebih pesat.

"Bandar Universiti Pagoh akan menjadi hab pengajian tinggi di sebelah utara Johor. Secara tidak langsung ia boleh dianggap sebagai koridor pendidikan antara 'Education Cluster' di 'Vision Valley Malaysia' (VVM) di bawah 'Greater KL' di sebelah utara dengan 'EduCity' di Nusajaya, Iskandar Malaysia di sebelah selatan.

"Ini adalah selaras dengan Program Transformasi Ekonomi untuk membangunkan pendidikan sebagai salah satu daripada Bidang Ekonomi Utama Negara dalam mentransformasikan ekonomi negara," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah Hab Pendidikan Pagoh di Ladang Lanadron di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Berhad, Datuk Abdul Wahab Maskan.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, projek pembinaan tersebut akan dijalankan mengikut fasa dengan pembiayaan melalui kaedah inisiatif kewangan swasta yang mana Sime Darby bertindak sebagai pemaju utama.

Katanya, pembangunan bandar pendidikan di kawasan seluas 1,659 hektar itu dijangka menelan kos setinggi RM8 bilion dalam tempoh 15 tahun yang akan turut merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya.

"Pembangunan fasa satu hab pendidikan ini dari 2011 hingga 2015 di kawasan seluas 404.7 hektar akan melibatkan empat institusi pengajian tinggi awam iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Pusat Penyelidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Politeknik Pagoh," katanya lagi.

Jelasnya, fasa pertama boleh menampung 16,800 pelajar dan pembangunan bandar universiti berkenaan akan merangkumi kawasan perumahan baru, kemudahan komersial serta kemudahan asas dan awam yang akan peningkatan peluang pekerjaan.

Katanya, pembangunan jangka panjang Hab Pendidikan Pagoh akan menarik pembukaan kampus-kampus cawangan universiti luar negara seperti Institut Teknologi Bandung di samping menggalakkan pengambilan penuntut antarabangsa.

Muhyiddin berkata, strategik negara adalah untuk mentransformasikan pengajian tinggi dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa dengan sasaran pengambilan 150,000 penuntut luar negara menjelang 2015.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 16 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: