PENGUNJUNG SETIA

29 September 2011

BINA RANGKAIAN USAHAWAN

LEDANG - Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Johor maju selangkah ke hadapan apabila menubuhkan Kelab Usawahan Risda (Risec), baru-baru ini.

Penubuhan kelab berkenaan sejajar dengan matlamatnya untuk membina rangkaian kerjasama antara semua usahawan Risda seluruh negeri.

Pelancarannya disempurnakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bakri, Datuk Saipolbahri Suib di Jalan Masjid, Serom 3, Sungai Mati, di sini.

Menurutnya, Risec juga berperanan mewujudkan satu pelan perlaksanaan pembangunan usahawan pekebun kecil yang lebih terancang dan sistematik.

Beliau berkata, kelab berkenaan ditubuhkan pada Mei lalu dengan tujuan lain untuk merapatkan hubungan usahawan di Muar juga Ledang.

“Ia menjadi bukti bahawa Risda Johor sentiasa ingin melahirkan seberapa ramai mungkin usahawan Melayu dalam kalangan ahli Risda.

“Dengan sebab itu, ahli Risda telah diberikan peluang untuk menubuhkan Risec ini,” katanya pada ucapan pelancaran kelab berkenaan, di sini.

Saipolbahri berkata, pada masa sama, dengan kewujudan kelab berkenaan dapat menggalakkan usahawan Melayu untuk melakukan transformasi dalam meningkatkan pendapatan pada tahap yang lebih baik.

“Kesungguhan tanpa henti yang ditunjukkan ahli Risec ini dapat untuk memastikan kelab ini membangun secara bersama,” katanya.

Menurutnya, beliau selaku pemimpin politik sentiasa mengharapkan ramai usahawan Bumiputera mampu berada pada kedudukan yang sama dengan usahawan bangsa asing.

“Untuk memastikan kelab ini berjaya perlu pastikan Risec mempunyai fokus kepada satu matlamat sahaja,” katanya.

"Penyertaan usahawan dalam Risec dijangka boleh membantu mereka memperoleh pendapatan bulanan mencecah RM2,500," katanya.

Namun begitu katanya, ia bukan sebagai ukuran dan jika mampu mereka boleh mencapai pendapatan lebih daripada sasaran.

Katanya, walau bagaimanapun sebahagian daripada keuntungan yang mereka peroleh wajar diagihkan kepada anak yatim.

“Untuk menjadi usahawan jangan hanya bercakap kosong, pastikan usahawan di sini mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi mengukur kejayaan setiap usahawan,” katanya.

Dalam pada itu, Saipolbahri turut menyumbangkan sebanyak RM10,000 untuk pembangunan kelab berkenaan.

SUMBER: SINAR HARIAN, 29 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: